KAJANG – Persatuan Penduduk Taman Kantan Permai (TKP) di sini terus melipatgandakan usaha bagi menjana pendapatan apabila kini mencebur dalam bidang industri kecil dan sederhana (IKS) dengan menjual makanan ringan.
Pengerusinya Ismail Hori berkata, langkah itu juga bertujuan mendidik ahli-ahli untuk terlibat dalam bidang keusahawanan sekaligus merancakkan lagi peluang menjana ekonomi bagi persatuan.
Katanya, ketika ini jualan makanan ringan seperti kerepek-kerepek yang diperoleh dari Chowkit dijual secara runcit dengan harga bermula dari RM2 hingga RM5.
“Kita mahu menambah dana persatuan dan ini merupakan salah satu cara kami menambah kewangan persatuan ini.
“Ia juga merupakan satu aktiviti sihat di mana kita dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk yang sama-sama membantu menjual makanan ringan yang disediakan,” katanya.
Tambah beliau, penduduk juga akan mendapat pulangan apabila hasil keuntungan daripada jualan digunakan untuk melakukan aktiviti-ativiti persatuan seperti program Ambang Kemerdekaan yang akan diraikan tidak lama lagi.
Ujarnya, penduduk yang juga ahli persatuan dan berhasrat untuk sama-sama menjual makanan ringan yang diusahakan oleh persatuan boleh berbuat demikian dengan berkunjung di kabin IKS yang terletak bersebelahan gelanggang futsal. – MalaysiaGazette

















alhamdullilah Doakan usaha kami yg sedikit ini utk penambahan Dana Persatuan, agar Ahli dapat manafaatnya.. insya Allah…