Antara 18 pemilik motosikal yang disita yang menjalani ujian saringan bunyi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Polis menyita 18 motosikal dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian peralatan, ekzos dan komponen, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, sebanyak 12 dari 18 motosikal diberikan notis kerana gagal dalam ujian saringan bunyi yang dijalankan JAS.

“Semua motosikal yang disita telah dibawa balik ke IPD Petaling Jaya untuk menjalani ujian saringan bunyi yang dijalankan pihak JAS Selangor.

“Sebanyak 12 dari 18 motosikal yang diuji telah dikeluarkan notis dan gagal ujian saringan bunyi.

“Kesemua tangkapan dan sitaan dibuat di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 terhadap 18 motosikal atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sedang menjalankan ujian saringan bunyi ke atas salah sebuah dari 18 motosikal yang disita selepas operasi bersepadu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Operasi bersepadu melibatkan kekuatan seramai dua pegawai dan 17 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD, manakala JAS Selangor membabitkan seorang pegawai dan sembilan anggota.

Sepanjang operasi ini dijalankan di sini, polis memeriksa sebanyak 150 motosikal dan 172 individu termasuk penunggang dan pembonceng.

“Sebanyak 101 keping saman PDRM(K) 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikenakan ke atas penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya.

Katanya, operasi itu dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya tetap di hati kami,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast