Mohd Zahari (kiri) tidak dapat menahan emosi apabila melihat Rahmah (kanan) mengesat air mata sebaik sahaja menerima sijil bagi pihak anaknya, Ahmad Fikry Yusof pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2025 di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – “Arwah memang teringin sangat nak raikan konvokesyen hari ini kerana hanya tinggal kami berdua selepas ayah dan abangnya meninggal dunia akibat Covid-19 enam tahun lalu”.

Itu luahan hiba Rahmah Syukura Abd. Hamid, 48, sebaik sahaja menerima sijil bagi pihak anaknya, Allahyarham Ahmad Fikry Yusof pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2025 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun 10 bulan sudah berlalu sejak Ahmad Fikry meninggal dunia pada usia 21 tahun akibat kanser limfoma pada Oktober tahun lalu, bait-bait kata anaknya itu masih segar dalam ingatannya.

“Sejak saya kehilangan kedua-dua insan tersayang, cuma tinggal kami berdua dan dialah harapan keluarga. Saya masih ingat ayat terakhir diungkapkannya yang dia amat menyayangi saya.

“Masa naik pentas tadi pun saya tidak dapat menahan sebak kerana terkenangkan arwah yang sangat berharap untuk berkongsi saat gembira itu dengan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Rahmad tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual pemberita.

Terdahulu, penyampaian sijil disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.

Ketika nama Ahmad Fikry Yusof dipanggil, suasana dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang gamat tiba-tiba bertukar hiba apabila melihat Rahmah sambil ditemani suami baharunya gagal menahan emosi sebelum menitiskan air mata.

Keadaan itu turut menyentuh hati Mohd Zahari sambil beberapa kali mengesatkan air mata dan meminta wanita itu dan suaminya terus bersabar dengan ujian Allah.

Bercerita mengenai penyakit arwah anaknya itu Rahmah berkata, sebelum sakit Ahmad Fikry pernah bekerja, sehinggalah doktor mengesahkan anak mengidap kanser limfoma yang tidak disedarinya sebelum itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast