KUANTAN – Setiap kampung di bawah Felda perlu menggunakan peruntukan RM100,000 yang disediakan kerajaan sebaik mungkin bagi melaksanakan projek pembangunan masing-masing.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau berharap peruntukan tersebut ditambah pada masa hadapan berdasarkan keperluan setempat.
“Kita bersyukur dengan apa yang telah diberikan. Saya ucapkan terima kasih kerana rancangan Felda yang paling banyak adalah di Pahang,” katanya selepas Majlis Perasmian Padang Bola Stadium Darul Makmur, di sini. hari ini.
Pahang merupakan negeri dengan penempatan Felda terbesar di Malaysia dengan 115 kawasan tanah rancangan di daerah Kuantan, Jengka, Mempaga.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi setiap kampung di bawah Felda untuk melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.
Anwar berkata, kerajaan memberi kebebasan kepada penduduk kampung menentukan sendiri projek pilihan mereka selaras dengan aspirasi kerajaan yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat. – MalaysiaGazette
















