MELAKA – Exco Melaka menafikan dakwaan kononnya guru sebuah sekolah di sini menyembunyikan kejadian seorang murid dibuli sehingga patah rahang seperti tular di media sosial hari ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman sebaliknya berkata, apa yang berlaku antara dua pelajar lelaki sebuah madrasah swasta di Melaka Tengah dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari Khamis lalu berpunca daripada tindakan provokasi.
“Ketika itu, kedua-dua pelajar ini sedang berjalan untuk solat berjemaah di surau sebelum mangsa kanak-kanak umur 12 tahun membuat provokasi dengan cara mengejek si pelaku, remaja 15 tahun.
“Bagaimanapun mungkin kerana tidak dapat mengawal emosi apabila diejek, remaja itu memukul mangsa berusia 12 tahun menyebabkan rahangnya patah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini malam ini.
Menurut Rahmad, susulan kejadian, guru madrasah swasta itu membawa kanak-kanak berkenaan untuk menerima rawatan di klinik namun dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Susulan kejadian, pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membuat siasatan termasuk memanggil penjaga kedua-dua pelajar terbabit.
“Hasil perbincangan, ibu bapa remaja berkenaan bersetuju untuk menanggung segala kos rawatan mangsa dan kedua-dua keluarga juga berpuas hati dapat menyelesaikan perkara itu,” katanya.
Tambah Rahmad, kes berkenaan dianggap selesai namun pihak JAIM telah menasihati guru supaya mengambil perhatian kejadian demikian supaya ia tidak berulang.
Menurutnya, kedua-dua murid terbabit tidak pernah terlibat dalam sebarang kesalahan di madrasah itu sebelum ini malah mempunyai rekod disiplin yang baik. – MalaysiaGazette
















