Sebahagian peserta yang menyertai acara Navy Run sempena KL Car Free Morning di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Lebih 11,000 peserta membanjiri Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini bagi menyertai Navy Run 25, program larian anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlangsung bersempena KL Car Free Morning.

Program edisi ketiga ini menjadi antara inisiatif terbesar TLDM dalam usaha memperkenalkan institusi tersebut kepada masyarakat awam, selain memperkukuh hubungan antara warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan komuniti setempat.

Larian tersebut turut disertai warga The Navy People, anggota ATM, veteran serta orang awam.

Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Laksamana Muda Badarudin Taha berkata, penganjuran tahun ini menunjukkan sambutan luar biasa daripada rakyat, malah melebihi jangkaan pihak penganjur.

“Ini adalah salah satu inisiatif TLDM bagi mendekatkan TLDM dengan masyarakat. Kali ini, penyertaan mencecah lebih 11,000 orang, jauh di luar jangkaan kami.

“Hasilnya, kita dapat lihat banjiran manusia memenuhi dataran hari ini. Ini adalah satu kondisi yang sangat istimewa buat TLDM,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Menurutnya, larian ini bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat, malah membantu menjana tabung pembangunan sukan dalam TLDM.

“Kami ingin memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga TLDM dan masyarakat. Pada masa yang sama, sasaran kami juga adalah untuk mengumpul dana bagi pembangunan sukan.

“Ramai warga TLDM telah mengharumkan nama negara dalam bidang sukan hasil bimbingan TLDM. Tabung ini sangat penting bagi membina kemudahan latihan dan memberi sokongan yang diperlukan.

“Hasilnya, kita dapat lihat TLDM telah menjadi juara 15 kali berturut-turut dalam sukan antara perkhidmatan,” jelasnya.

Majlis pelepasan larian telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengekalkan Navy Run sebagai acara tahunan dan penganjuran seterusnya yang dijangka diadakan pada awal Ogos 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast