Gan Ay Ling

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perlis didesak menjelaskan justifikasi kenaikan tarif air sebanyak 22 peratus di negeri itu, ketika perkhidmatan bekalan air di negeri tersebut masih berada pada tahap mengecewakan.

Ketua Pembangkang Dewan Ungangan Negeri (DUN) Perlis, Gan Ay Ling berkata, pihaknya menerima banyak rungutan dari rakyat berkenaan masalah tekanan air rendah di kawasan perumahan padat dan luar bandar.

Selain itu, menurutnya, penduduk juga mengadu bekalan air di rumah mereka tidak bersih dan keruh, selain kekerapan gangguan bekalan air tanpa notis yang jelas.

Paling ketara, dakwa beliau, kadar air tidak berhasil (NRW) di Perlis antara yang tertinggi di negara ini, iaitu kira-kira 62 peratus, yang bermaksud lebih daripada separuh air terawat hilang sebelum sampai kepada pengguna.

“Kenaikan ini juga berlaku dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, dan ia amat membebankan terutama bagi wanita, ibu tunggal dan ketua keluarga yang bergelut untuk menyediakan keperluan asas harian.

“Kesan psikologi dan tekanan kehidupan harian terhadap keluarga B40 pasti berlipat ganda ekoran daripada kenaikan mendadak ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bermula 1 Ogos lalu, beberapa negeri melaksanakan kadar tarif air baharu dengan Perlis menyaksikan kenaikan dalam caj minimum tertinggi iaitu sebanyak RM1.60.

Sementara itu, Ay Ling yang juga Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis turut mempersoalkan mengapa pengguna harus menanggung beban kegagalan sistemik syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP).

Ujarnya, beliau juga tidak melihat adanya pelan jangka panjang atau strategi telus daripada SAP untuk mengurangkan NRW, membaik pulih paip lama atau meningkatkan kapasiti sistem rawatan air.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Negeri Perlis dan SAP menjelaskan bagaimana hasil kenaikan tarif air tersebut akan digunakan kelak, serta rancangan untuk menyelesaikan masalah tekanan air dan mutu bekalan.

Dalam masa sama, beliau menuntut penjelasan sama ada Kerajaan Negeri Perlis dan SAP mempunyai sebarang mekanisme subsidi atau pengecualian untuk golongan miskin bagi mengurangkan beban kos kenaikan tarif air tersebut.

“Pentadbir kerajaan negeri perlu fahami kelangsungan hidup rakyat.

“Jangan jadikan rakyat mangsa kepada kelemahan tadbir urus agensi negeri, ibarat luka ditaburi garam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast