SYDNEY – Berpuluh-puluh ribu orang termasuk Pengasas WikiLeaks, Julian Assange, menyertai perhimpunan pro-Palestin dan berarak di jambatan Sydney Harbour hari ini, menyebabkan mercu tanda terkenal itu ditutup.
Assange yang kembali ke Australia pada tahun lalu selepas dibebaskan daripada penjara British dilihat dikelilingi keluarga dan berarak di samping bekas Menteri Luar Australia dan bekas Ketua Menteri New South Wales, Bob Carr.
Sejak beberapa minggu lalu, Perancis, Britain dan Kanada menyuarakan hasrat untuk mengiktiraf negara Palestin ketika masyarakat antarabangsa khuatir dan mengkritik kekurangan makanan di Gaza semakin meruncing.
Australia menggesa penamatan peperangan di Gaza tetapi setakat ini negara itu tidak membuat keputusan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Bagaimanapun, pada Selasa lalu dalam kenyataan bersama dengan lebih berpuluh-puluh negara, ia melahirkan ‘kesediaan atau menimbang secara positif untuk mengiktiraf negara Palestin sebagai langkah penting ke hadapan penyelesaian dua negara’.
Peserta himpunan itu mengharungi angin kencang dan hujan berarak melintas jambatan tersebut sambil melaungkan ‘gencatan senjata sekarang’ dan ‘bebas Palestin’.
Polis New South Wales berkata, ia mengerahkan beratus-ratus anggota pada perarakan itu.
Senator New South Wales, Mehreen Faruqi memberitahu peserta perhimpunan yang berkumpul di Taman Lang bahawa perhimpunan tersebut akan melakar sejarah.
Wanita itu mahu sekatan dikenakan ke atas Israel, menuduh ia melakukan pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza selain mengkritik Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns kerana berkata bantahan yang dilakukan itu sepetutnya tidak diteruskan.
Berpuluh-puluh perseta perhimpunan membawa sepanduk yang menyenaraikan nama beribu-ribu kanak-kanak Palestin yang terbunuh sejak Oktober 2023
Penyokong Parti Buruh, Ed Husic menggesa partinya yang dipimpin Perdana Menteri, Anthony Albanese untuk mengiktiraf negara Palestin.
Assange tidak berucap atau bercakap kepada wartawan pada perhimpunan tersebut.
Israel berhadapan dengan tekanan antarabangsa untuk menamatkan pertumpahan darat yang telah membunuh 60,000 penduduk Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. – AFP
















