KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 syarikat penerbangan daripada keseluruhan 56 buah yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan terlibat dalam pelaksanaan awal sistem Advance Passenger Information (API) yang akan mula beroperasi hujung tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, API merupakan sebahagian daripada sistem Advance Passenger Screening System yang mana maklumat ketibaan pengembara dapat diketahui lebih awal sebelum mereka menjejakkan kaki ke negara ini.
Menurut beliau, sistem itu akan dilaksanakan dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM); Malaysia Airports Berhad dan pasukan keselamatan penerbangan.
Jelasnya, sistem itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menangani isu rasuah di pintu masuk negara khususnya di KLIA menerusi pelbagai sindiket seperti kaunter setting; flying passport; U-turn; phantom travellers dan sebagainya.
“Apa pun istilahnya (rasuah pintu masuk), ini adalah satu perbuatan yang memberikan wajah hodoh kepada agensi yang terbabit iaitu imigresen (Jabatan Imigresen) dan Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS).
“Perbuatan salah laku integriti segelintir mereka yang terlibat ini tidak akan ada tempat dalam Kementerian Dalam Negeri.
“Kami mengamalkan zero tolerance terhadap perbuatan seumpama ini,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin Nasution menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berkenaan berapa lama lagi masa diperlukan untuk kerajaan menyelesaikan isu rasuah dan penyelewengan secara menyeluruh di Jabatan Imigresen KLIA memandangkan isu sindiket Fly dan U-turn telah memalukan imej negara.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, dalam usaha membanteras rasuah di pintu masuk tersebut juga, kerajaan akan memasang sebanyak 635 autogate di 123 pintu masuk di bawah AKPS menjelang hujung tahun ini.
Ujarnya, pemasangan autogate itu akan melibatkan lokasi seperti Kompleks Sultan Abu Bakar; Bangunan
Sultan Iskandar, Johor; KLIA 1 dan 2; Lapangan Terbang Kuching; Lapangan Terbang Kota Kinabalu, dan Lapangan Terbang Pulau Pinang, sebelum dilaksanakan sepenuhnya di semua pintu masuk negara menjelang Mac 2028.
Selain itu, tambahnya, kerajaan kini juga dalam proses Proof of Concept (POC) untuk pemakaian kamera badan oleh petugas Jabatan Imigresen di pintu masuk utama negara, khususnya di KLIA.
“Perolehannya akan dilakukan pada September ini dengan sasaran kelulusan sebanyak 614 kamera badan.
“Ini akan dapat meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan bagi mengelakkan insiden rasuah,” katanya.
Dalam masa sama, jelasnya, KDN dalam menangani isu rasuah itu juga turut menganjurkan program kesedaran, latihan pengukuhan aktiviti berdasarkan kepada Pelan Antirasuah Imigresen serta kerjasama strategik dengan SPRM, polis dan agensi lain yang mana setakat ini, sebanyak 185 kursus kesedaran sedemikian telah dilaksanakan. – MalaysiaGazette
















