Ab Rahaman (kanan) menerima penyerahan jawatan daripada Kumar dengan disaksikan Abdul Aziz di Auditorium, IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Komisioner Ab Rahaman Arsad dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu.

Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor itu diadakan di Auditorium, Dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ab Rahaman, 58, mengambil alih jawatan tertinggi Polis Kontinjen Johor itu daripada Datuk M Kumar.

Kumar, 56, yang memegang jawatan Ketua Polis Johor sejak 24 Januari 2024 bakal menjawat jawatan baharu sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pada majlis itu, Kumar menyerahkan nota serah terima tugas dan tongkat kuasa kepada Ab Rahaman disaksikan Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.

Terdahulu, Abdul Aziz turut memakaikan pangkat Komisioner kepada Ab Rahman pada Majlis Pemakaian Pangkat Komisioner Polis, hari ini.

Ab Rahaman yang berasal dari Kulai, Johor memulakan kerjaya polis pada 1989 pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Pengurusan IPK Negeri Sembilan dan Kedah.

Kumar pula yang memulakan khidmat dalam PDRM pada 1 Disember 1991 sebagai Inspektor pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua JSJ Johor, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan Ketua Polis Daerah Mersing.

Pada majlis sama, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Johor antara Datin SP Shanthi dan Salwah Mahdan yang disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan, Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast