Gambar hiasan.

Oleh: Prof. Madya Dr. Aspalilah Alias

DULU, kalau nampak anak gadis pegang rokok, pasti menjadi kejutan besar. Tapi hari ini, vape menjadi trend yang menular dalam kalangan remaja perempuan — termasuk anak-anak sekolah menengah. Fenomena ini amat membimbangkan. Apakah kita sebagai ibu bapa mahu terus berdiam diri?

Rokok elektronik atau vape bukan sekadar alat ‘stylo’, malah ia mengandungi bahan yang mengancam kesihatan dan akhlak anak-anak kita. Di dalam vape terdapat pelbagai kandungan kimia yang mengganggu kehidupan dan Kesihatan badan. Di dalam vape ada Nikotin. Nikotin merupakan bahan ketagih yang menjejaskan otak remaja yang membuatkan mereka hilang fokus, sukar belajar.

Di dalam vape juga terdapat logam berat (timah, kadmium) yang mengancam fungsi paru-paru dan jantung. Manakala di dalam vape juga terdapat perisa kimia: Sesetengahnya mengandungi bahan toksik seperti diacetyl yang boleh merosakkan salur pernafasan.

Terdapat banyak Kesan buruk kepada pelajaran dan Kesihatan para pelajar. Vape dipercayai merosakkan fungsi Otak. Bahan nikotin dalam vape mengganggu fungsi kognitif, memori dan keupayaan membuat keputusan. Remaja yang telah mula menghisap vape akan mengalami ketagihan yang berterusan. Remaja yang mula dengan vape mudah terjerumus ke rokok biasa, ganja dan dadah. Risiko paru-paru berair, batuk kronik dan sesak nafas meningkat apabila berlaku peningkatan penghisapan vape di kalangan remaja.

Perkara ini juga menyebabkan akhlak dan adab remaja semakin merundum kerana ketagihan menyebabkan mereka jadi cepat marah, suka menyendiri, dan mula menipu ibu bapa. Ketagihan menjejaskan tumpuan belajar dan menurunkan prestasi akademik menyebabkan mereka tercicir di dalam kelas.

Persoalannya kenapa anak perempuan kita tertarik dengan vape? Ini disebabkan oleh tekanan rakan sebaya, pengaruh TikTok, Instagram, selebriti, rasa ingin mencuba, kurang perhatian daripada keluarga serta ibu bapa terlalu percaya tanpa menyelidik pergaulan anak. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat perlu cakna dengan perubahan yang berlaku sekarang ini.

Ibu bapa hendaklah mengenali siapa kawan anak dan jangan malu bertanya dan memerhati. Ibu bapa hendaklah pantau media sosial mereka kerana banyak pengaruh negatif datang dari TikTok dan Instagram. Ibu bapa hendaklah bersahabat dengan anak agar mereka tidak mencari kasih di luar rumah. Ibu bapa hendaklah mendidik anak dengan ilmu dan agama dengan mewujudkan majlis ilmu dan solat Jemaah bersama-sama dengan anak anak.

Bawalah anak-anak membuat aktiviti sihat bersama seperti beriadah dan bersukan setiap hujung minggu bagi memahami masalah anak anak dan mengeratkan siratul Rahim antara keluarga. Vape sangat bahaya dan memberikan Kesan sangan negative kepada masyarakat. Di mana kes disiplin di sekolah meningkat, kos kesihatan negara meningkat kerana komplikasi paru-paru dan mental, generasi muda hilang hala tuju serta kejatuhan nilai moral remaja perempuan yang dulunya menjadi harapan keluarga dan negara.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”(Surah at-Tahrim, 66:6). Tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar beri makan dan pakaian, tetapi memastikan anak tidak hanyut dalam maksiat dan perbuatan merosakkan diri.

Vape bukan trend, tetapi adalah ia “racun senyap” kepada masyarakat. Anak-anak kita sedang diintai bahaya yang disangka ‘wangi’, tetapi hakikatnya merosakkan tubuh, akal, dan jiwa. Ibu bapa, kita mesti bertindak. Jangan sampai nasi jadi bubur. Selidik siapa kawan anak, periksa beg sekolah mereka, dan lebih penting, bina hubungan kasih yang terbuka.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast