Ketiga-tiga individu terbabit makan ayam goreng di sebuah restoran makanan segera.

KUALA LUMPUR – Tiga individu yang merupakan pencipta kandungan (content creator) di media sosial menerima kecaman hebat daripada netizen kerana menghasilkan rakaman yang dianggap melampau dan biadab.

Semua itu gara-gara ketiga-tiga individu terbabit cuba membuat lawak dengan cara meletakkan tulang ayam di dalam bungkusan nasi yang diberikan kepada seorang lelaki yang dikatakan gelandangan.

Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsikan seorang pengguna laman sosial yang menggunakan nama kyrelakmal, ketiga-tiga mereka yang memuat naik kandungan berkenaan di laman Instagram aluk_777 pada mulanya makan ayam goreng di sebuah restoran makanan segera.

Bagaimanapun, mereka kemudiannya meletakkan tulang ayam di dalam bungkusan nasi lalu memberikan bungkusan itu kepada seorang lelaki gelandangan.

Kyrelakmal yang melahirkan rasa kesal di atas sikap ketiga-tiga pencipta kandungan itu menyifatkan perbuatan mereka sebagai tidak berakhlak.

“Wahai rakyat Malaysia, tak kira apa pun bangsa hang, hang rasa lawak ka benda ni?

“Buat content makan KFC, tulang pi campak dalam nasi, pastu bagi kat homeless. Serius lah, ni kelakar?

“Anak siapa yang biadap tahap ni? Tolong jangan normalisasikan content macam ni. Mana-mana “content creator” yang buat perangai macam ni patut kena banned. Block terus. Palau habis. Dah jadi binatang apa depa ni?” katanya di laman sosial itu.

Sementara itu, menerjah di ruangan komen MalaysiaGazette mendapati, rata-rata netizen mengutuk perbuatan ketiga-tga individu berkenaan sambil menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka.

Seorang pengguna Ozzieyyy menggesa polis mengambil tindakan terhadap mereka dengan segera.

“Minta tolong ambik tindakan kepada content creator ini. #pdrm” tulisnya.

Bagi quenbeezoorah pula, rakaman seperti itu bukan hanya dikecam oleh satu bangsa sahaja sebaliknya, ramai lagi yang turut akan berasa marah dengan perbuatan seperti itu.

Nasi bercampur tulang ayam yang diberikan kepada seorang gelandangan lelaki oleh ketiga-tiga pencipta kandungan terbabit.

“Ni bukan melayu yang kecam.. ramai cina pun kecam. Dah kena kecam buat video minta maaf.. kononnya dia ajak gelandangan tu berlakon.. still tak boleh terima level content bangang macam ni,” ujarnya.

Sementara itu seorang pengguna laman sosial, mengambil contoh pandangan yang dilontarkan pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming (KA) kepada pengguna pencipta kandungan yang mahu memuat naik sesuatu kandangan di alam maya

“Antara sebab kenapa KA suruh belajar, jadi pandai baru jadi content creator. Kalau x mmg keluar konten bangang mcm ni je.

How can someone wake up and think, hey jom buat konten mkn kepci pastu letak tulang dlm nasi bagi kat homeless? TAK MASUK AKAL,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast