APABILA kita bercakap mengenai jerebu, sering kali kita berfokus kepada implikasi jerebu terhadap kesihatan manusia seperti masalah pernafasan, iritasi mata, dan penurunan kualiti hidup. Namun begitu, satu aspek yang sering terlepas pandang ialah bagaimana jerebu turut memberi kesan serius terhadap pokok-pokok di kawasan bandaran.
Di tengah-tengah kota yang sibuk dan penuh dengan bangunan konkrit, pokok-pokok bandar memainkan peranan yang sangat penting. Mereka bukan sahaja menghijaukan landskap tetapi juga membantu menyejukkan suhu persekitaran, menyaring habuk dan bahan pencemar udara, menyediakan habitat kepada pelbagai hidupan liar serta
menyediakan kawasan untuk kita penghuni bandar untuk beriadah. Akan tetapi, kehadiran jerebu secara berterusan boleh menjejaskan kesihatan dan fungsi ekologi pokok-pokok ini.
Jerebu mengandungi partikel halus seperti PM10 dan PM2.5 yang terapung di udara dan mengaburkan cahaya matahari. Cahaya matahari sangat penting untuk proses fotosintesis, di mana daun menghasilkan makanan untuk tumbuhan. Apabila jerebu menebal atau berterusan, kadar penembusan cahaya ke dalam daun akan menurun, menyebabkan fotosintesis terganggu. Akibatnya, pertumbuhan pokok menjadi perlahan dan daya tahan terhadap penyakit menurun.
Partikel pencemar dalam jerebu seperti sulfur dioksida, nitrogen dioksida, dan ozon boleh mendap ke permukaan daun. Ini menyebabkan liang stomata (pembukaan kecil pada daun) tersumbat, menyekat pertukaran gas yang penting untuk pernafasan tumbuhan. Tambahan pula, bahan kimia ini boleh merosakkan tisu daun dan mempercepatkan proses pengguguran daun, yang akhirnya menjejaskan kesihatan pokok secara keseluruhan.
Tekanan alam sekitar yang berpanjangan akibat jerebu juga boleh menyebabkan pokok lebih mudah diserang oleh serangga perosak dan penyakit. Pokok yang tertekan juga cenderung menjadi lebih rapuh dan mudah tumbang dalam cuaca buruk, seperti ribut atau angin kencang menimbulkan risiko kepada keselamatan awam di kawasan bandaran.
Apabila pokok-pokok mula menunjukkan tanda-tanda kemerosotan akibat jerebu, kesan berangkai akan berlaku. Kehilangan dedaunan akan mengurangkan keupayaan pokok
menyaring udara, justeru mempercepatkan pencemaran. Habitat fauna bandar juga akan terjejas, termasuk burung dan serangga pendebunga. Dalam jangka panjang, fungsi ekologi dan keseimbangan iklim mikro bandar boleh terjejas.
Apa yang boleh dilakukan?
Langkah mitigasi amat penting untuk memelihara kesihatan pokok-pokok khsusnya di bandar semasa musim jerebu:
Pemantauan kesihatan pokok: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pegawai yang bertanggungjawab ke atas landskap bandar mahupun arboris bertauliah (Certified Arborist) perlu menjalankan pemantauan berkala ke atas keadaan fizikal pokok, terutamanya semasa musim jerebu yang berterusan.
Pemilihan spesies pokok toleransi pencemaran: Dalam proses perancangan landskap bandar, keutamaan harus diberikan kepada spesies pokok yang terbukti lebih tahan terhadap pencemaran udara. Pihak PBT boleh mempertimbangkan spesies-spesies pokok yang mampu bertoleransi dalam keadaan udara yang tercemar seperti Caesalpinia sappan (Sepang) dan Ficus religiosa (Ara)(Mekherjee et al. 2020), Pterocarpus indicus (Sena) and Erythrina orientalis (Dedap Merah)(Baek & Woo, 2010). Kajian lain di India menunjukkan beberapa species pokok seperti Ficus religiosa (Ara), Ficus benghalensis (Ara) dan Alstonia scholaris (Jelutong) antara specses-spesies pokok yang toleransi terhadap debu di udara (Patel et al. 2023).
Pembersihan daun pokok tertentu: Di kawasan dengan kadar jerebu yang tinggi, pembersihan berkala permukaan daun dengan air atau melalui siraman boleh membantu
mengurangkan pemendapan partikel toksik.
Pendidikan awam: Masyarakat perlu dididik dan diberi tahap kesedaran mengenai kepentingan pokok bandaran dan bagaimana jerebu bukan sahaja menjejaskan kesihatan manusia, malah alam sekitar. Terdapat juga kajian di Brazil yang menujukkan di kawasan yang telah dilaksanakan program Pendidikan Alam Sekitar (EE), terdapat peningkatan kawasan hijau, kesedaran ekologi, keterlibatan sosial, serta kesejahteraan di kalangan
pelajar dan komuniti (Vieira et al, 2022).
Jerebu bukan hanya krisis kesihatan awam, tetapi juga satu ancaman kepada sistem hijau kita di bandar. Pokok-pokok yang kita anggap pasif dan diam sebenarnya sedang ‘berjuang’ dalam senyap untuk terus hidup dan melindungi kita. Jika kita tidak mengambil langkah proaktif, kita bukan sahaja kehilangan manfaat pokok-pokok ini, tetapi juga mengorbankan masa depan bandar yang lebih sihat dan lestari.
Sebagai rakyat yang prihatin, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar. Memahami kesan jerebu terhadap pokok-pokok bandar adalah langkah pertama ke arah tindakan yang lebih berkesan dan bersepadu.
Prof. Madya Ts. CA. Dr. Sreetheran Maruthaveeran
Jabatan Senibina Landskap
Fakulti Rekabentuk dan Senibina
Universiti Putra Malaysia
















