TEMERLOH – Polis menahan dua individu yang dipercayai terbabit dengan aktiviti jenayah klon kenderaan di Jalan Tengku Ismail, dekat sini ketika menjalankan Op Cegah Jenayah, awal pagi tadi.
Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata kedua-dua suspek lelaki dan wanita berkenaan berasal dari Jengka.
Ujarnya pihaknya turut merampas 81 pil kuda, dua botol air ketum, sebuah kereta Wolkswegen Jetta serta beberapa peralatan lain.
”Ketika kejadian polis menahan lelaki dan wanita berkenaan kerana memandu dalam keadaan yang mencurigakan.
”Hasil pemeriksaan ke atas mereka serta kenderaan yang dipandu mendapati terdapat pemilikan barangan salah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya polis membawa barang rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk tindakan lanjut selepas melakukan pemeriksaan.
Pemeriksaan lanjut pada nombor casis dan enjin mendapati kenderaan yang ditahan dapati ianya tidak mempunyai rekod pendaftaran dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia manakala semakan nombor plat tidak sepadan.
Mazlan berkata hasil ujian saringan terhadap suspek lelaki mendapati sah postif dadah jenis Methamphetamine manakala suspek wanita negatif dadah. – MalaysiaGazette
















