KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dan meneliti punca sebenar insiden gangguan perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mula beroperasi semula pada 1 Julai lalu.
Sejak ia mula beroperasi, sistem pengangkutan itu telah mengalami sekurang-kurangnya lima kali gangguan, dakwa Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung.
Menurutnya, gangguan berulang kali dalam tempoh sebulan amat mengecewakan dan tidak boleh diterima apatah lagi perkhidmatan tren tanpa pemandu itu kembali beroperasi selepas menjalani proses naik taraf bernilai RM456 juta selepas penggantungan operasi selama 28 bulan.
Yee Fung menempelak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke apabila dengan bangganya mengumumkan aerotrain telah kembali beroperasi pada 1 Julai lalu.
Namun, tidak sampai sehari, sistem ini gagal berfungsi akibat halangan di pintu pagar penumpang.
Pada 4 Julai, Aerotrain mengalami gangguan sekali lagi dan Anthony mendakwa sistem tren tidak bermasalah, sebaliknya menjelaskan ia berpunca daripada kerosakan teknikal pada salah satu pam saliran dalam infrastruktur terowong sedia ada di KLIA.
Kemudian, pada 12 Julai dan hari ini 4 Ogos, ia rosak lagi.
“Adakah ini semuanya disebabkan oleh pam saliran? Adakah ini standard untuk projek yang bernilai RM456 juta?,” soal beliau.
Yee Fung berkata, jumlah untuk membaik pulih projek tersebut melibatkan dana awam yang besar dan berkait rapat dengan kepentingan rakyat.
“Justeru kami menggesa Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan menyediakan laporan siasatan yang telus dan adil, serta melaksanakan langkah penambahbaikan dengan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi,” ujar beliau.
Tambahnya, memandangkan KLIA merupakan pintu masuk utama bagi pelancong antarabangsa, jadi apabila kemudahan aerotrain sering tergendala, ia bukan sahaja menyusahkan pengguna tetapi turut mencemarkan imej negara.
Oleh itu, Pemuda MCA berharap Menteri Pengangkutan segera menjelaskan sama ada masalah sebenar terletak pada sistem, komponen, atau aspek pengurusan projek, dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kepentingan penumpang terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















