Ops mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan untuk mengesan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dilapor hilang sejak Jumaat lalu

AMPANG – Seorang penganggur berstatus orang kelainan upaya (OKU) yang keluar berseorangan ke Bukit Tabur, Taman Melawati dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Warisan, dekat sini, sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan perkara itu selepas bapanya membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati dekat sini jam 1.04 tengah hari, pada Sabtu.

Anggota bomba dan polis melakukan pencarian pada hari ketiga berhubung kes kehilangan seorang lelaki tempatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Tabur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 OGOS 2025

“Hasil siasatan awal mendapati, lelaki berusia 43 tahun itu dihantar bapanya ke Kampung Warisan, Taman Melawati untuk berehat kira-kira jam 2.30 petang, pada Jumaat.

“Bagaimanapun anaknya didapati masih belum pulang ke rumah jam 9.30 malam dan bapanya pergi ke Kampung Warisan untuk mencari anaknya namun tidak dijumpai,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian itu, katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon 4 Hulu Langat melancarkan operasi mengesan dan menyelamat (SAR) sejak Sabtu lalu.

“Ops SAR disertai Unit Pengesan (K9) JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Turut serta penduduk kampung, sukarelawan dan malim gunung Jabatan Perhutanan Selangor,” katanya.

Anggota bomba dan polis melakukan pencarian pada hari ketiga berhubung kes kehilangan seorang lelaki tempatan yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Tabur, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 OGOS 2025

Mohd Azam juga berkata, sebelum lelaki tersebut hilang, dia memakai baju t-shirt leher bulat berwarna hitam dan merah, berseluar jeans gelap, kasut sukan serta membawa beg galas berwarna hitam.

“Berdasarkan pencarian awal penduduk kampung pada Sabtu, mereka menjumpai satu beg galas dipercayai milik lelaki tersebut di lokasi susur menaiki Bukit Tabur Taman Melawati,” katanya.

Anggota bomba dan polis melakukan pencarian pada hari ketiga berhubung kes kehilangan seorang lelaki tempatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Tabur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 OGOS 2025

Selain itu, katanya, Ops SAR itu tertumpu di sekitar laluan ke Bukit Tabur dan sekitar hulu Sungai Klang.

“Sehingga hari ini, lelaki tersebut didapati hilang selama empat hari bermula sejak Jumaat lalu.

“Polis telah menubuhkan Pos Kawalan Polis di tempat kejadian bagi menyelaras SAR,” katanya.

Katanya lagi, pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menyalurkan maklumat kepada Balai Polis Taman Melawati.

“Orang ramai yang berhasrat untuk membantu SAR dikehendaki melapor diri di Pos Kawalan Polis di tempat kejadian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast