Oleh: Mazlee Mazalan
IBU bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk masa depan anak-anak, bukan sahaja dalam aspek pembelajaran di rumah, tetapi juga dalam menyokong
pendidikan formal di sekolah. Dalam era teknologi yang serba canggih ini, ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi kunci utama untuk membina masyarakat berpengetahuan dan berinovasi. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk memahami dan menyokong pendidikan STEM demi memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan global.
Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memupuk minat anak-anak dalam bidang STEM. Antaranya ialah menyediakan persekitaran yang kondusif di rumah untuk meneroka teknologi dan eksperimen sains secara selamat dan menyeronokkan. Ibu bapa juga digalakkan untuk mendedahkan anak-anak kepada bahan bacaan, permainan pendidikan, video pembelajaran digital dan alat-alat teknologi asas seperti kit robotik atau pencetak 3D. Selain itu, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai program luar seperti bengkel, pertandingan, atau lawatan ke pusat sains dan universiti.
Penyertaan aktif ibu bapa dalam aktiviti-aktiviti ini memberi semangat dan motivasi kepada anak-anak untuk mendalami bidang STEM secara lebih serius. Program-
program STEM ini juga berfungsi sebagai alternatif positif yang dapat mengurangkan masa penggunaan gajet oleh anak-anak di rumah. Dengan aktiviti yang melibatkan reka bentuk, pembuatan dan pengekodan, perhatian murid dapat dialihkan daripada hiburan pasif kepada penglibatan aktif dalam pembelajaran.
Tidak dinafikan, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa dalam memainkan peranan mereka dalam bidang ini. Antaranya termasuklah kekangan masa, kekurangan ilmu STEM, serta kesukaran untuk mendapatkan bahan pembelajaran yang sesuai. Namun begitu, cabaran ini boleh diatasi dengan pelbagai penyelesaian. Ibu bapa boleh menghadiri bengkel atau seminar yang disediakan oleh sekolah, university, pusat TVET atau agensi kerajaan bagi menambah pengetahuan mereka. Di samping itu, penggunaan platform digital yang menyediakan kandungan STEM secara percuma seperti YouTube, MOOC, atau aplikasi pembelajaran juga boleh dimanfaatkan.
Salah satu langkah paling berkesan ialah penglibatan aktif ibu bapa dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Melalui PIBG, ibu bapa boleh memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada pihak sekolah dalam merancang dan menganjurkan pelbagai program STEM. Contohnya, PIBG boleh bekerjasama dengan guru-guru dan institusi pengajian tinggi untuk menganjurkan bengkel robotik, ceramah sains, lawatan akademik, dan pertandingan teknologi. Dana dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) seperti program pembudayaan STI (2023), StemCamp (2024), StemCamp 2.0 (2025), serta Minggu Sains Negara (2025) boleh dimanfaatkan oleh PIBG bagi menjayakan program tersebut.
Kerjasama dengan universiti seperti UniMAP juga mampu membantu membimbing murid dalam projek inovasi seperti membina robot bola sepak dan bot solar. Contoh program yang telah dijalankan termasuklah aktiviti STEM di Perlis seperti di Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR), SK Seri Indera dan SK Padang Besar Utara. Melalui aktiviti ini murid-murid telah belajar mereka bentuk robot menggunakan perisian Tinkercad, menghasilkan struktur robot menggunakan pencetak 3D, memasang komponen, dan membuat pengekodan Arduino.
Penyertaan anak-anak dalam program STEM juga membawa kelebihan dalam bentuk penarafan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Penarafan ini sangat penting kerana ia diambil kira dalam proses pemilihan untuk kemasukan ke sekolah khusus seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Teknik (SMT), dan Kolej Vokasional (KV). Beberapa pertandingan dan pameran yang menyumbang kepada penarafan PAJSK termasuklah National Robotic Competition (NRC), Ekspo Rekacipta (EREKA), International Innovation And Invention Competition Through Exhibition (ICOMPEX), dan XCIPTA. Penyertaan murid dalam pertandingan ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran mereka dalam teknologi dan inovasi, malah memberi kelebihan besar dalam persaingan memasuki institusi pendidikan berprestij.
Peranan ibu bapa dalam memupuk minat murid terhadap STEM bukan sahaja terhad kepada sokongan moral, tetapi juga melalui penglibatan aktif dalam PIBG dan usaha
bersama dengan pihak sekolah. Dengan gabungan sokongan di rumah, pendedahan melalui program STEM, dan kerjasama erat antara ibu bapa dan guru, Malaysia mampu melahirkan generasi yang berilmu, berinovasi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Sokongan padu daripada semua pihak adalah kunci kepada kejayaan pendidikan STEM di Malaysia.
Penulis adalah Pensyarah Kanan
Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektronik
Universiti Malaysia Perlis
















