Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini mengenakan denda RM3 juta terhadap Pixelvest Sdn. Bhd. (Pixelvest) selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan menjalankan perniagaan pengurusan dana tanpa lesen.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin mengenakan denda itu selepas Pengarahnya Dexter Ang Jen Chuen mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Siti Shakirah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Dexter Ang selepas beliau mengaku bersalah melakukan perbuatan sama atas kapasitinya sebagai pengarah.

Hukuman penjara berkuatkuasa dari tarikh tangkap pada 10 Januari lalu.

Pixelvest dan pengarah itu melakukan perbuatan tersebut di sekitar ibu negara dan Selangor di antara Disember 2020 dan Januari 2023.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini, Pixelvest dan Dexter Ang didakwa di bawah Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana melakukan kesalahan tersebut.

Sementara itu pada 28 Julai lalu, di mahkamah berlainan, Dexter Ang turut dipenjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas lapan pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.

Kesalahan dilakukan untuk tempoh yang sama di tempat serupa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Hakim Norma Ismail memerintahkan hukuman penjara tiga tahun itu berkuat kuasa serentak bermula dari tarikh tangkap pada 10 Januari 2024.

Dexter Ang ditangkap dan dikenakan pertuduhan oleh SC pada 10 Januari 2024 atas kesalahan di bawah AMLATFPUAA dan selepas itu pada 26 Februari 2024 atas kesalahan di bawah CMSA.

Pixelvest pula dihadapkan ke mahkamah pada 10 Mei 2024. Kedua-duanya pada asalnya meminta dibicarakan atas pertuduhan yang dikenakan.

Dalam kenyataan itu, SC turut menyatakan, pengurusan dana merupakan aktiviti terkawal dan mana-mana individu yang menjalankan perniagaan pengurusan dana dan memerlukan lesen daripada agensi itu di bawah CMSA.

Kata kenyataan itu, SC memandang serius aktiviti tidak berlesen dan kekal komited terhadap perlindungan pelabur dengan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

“Pelabur diingatkan untuk menyemak Senarai Makluman Pelabur SC yang sentiasa dikemas kini, jika ada syarikat atau individu yang mencurigakan yang mungkin menjalankan aktiviti atau penipuan pasaran modal tidak berlesen,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast