Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Sebuah rumah teres yang dijadikan stor penyimpanan dadah jenis syabu dan ketamin diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi yang dijalankan di Taman Sri Hartamas, di sini pada 29 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan itu pihaknya menemukan kedua-dua jenis dadah dengan anggaran berat 439 kilogram (kg) bernilai RM17.78 juta.

Jelasnya, serbuan dilakukan pada pukul 2.10 petang hasil risikan terhadap aktiviti sindiket pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan dalam operasi itu yang dijalankan oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman. Pemeriksaan lanjut ke atas rumah teres itu menemui 224 bungkus syabu dengan anggaran berat 234 kg.

“Selain itu, polis turut menemui 200 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 205.7 kg.

“Lelaki warga tempatan berusia 30 tahun disyaki berperanan sebagai koordinator dan ‘transporter’ kepada sindiket yang menerima gaji RM7,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Hussein berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menjadikan rumah teres berkenaan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan.

“Semua dadah itu dibawa masuk melalui jalan darat dari negara jiran oleh sindiket berkenaan. Kita percaya lelaki berkenaan menerima arahan dari seseorang untuk menghantar dadah sekiranya terdapat permintaan.

“Polis kini sedang mengesan jaringan kumpulan sindiket ini, polis percaya masih terdapat saki baki ahli sindiket,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan ujian saringan air kencing mendapati, suspek negatif dadah.

Bagaimanapun beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan senjata dan menerusi serbuan itu polis turut menyita pelbagai jenis aset bernilai RM93,350.

Tambahnya, suspek direman selama enam hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hussein menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah dadah agar menghubungi Hotline JSJN di 012-208 7222 untuk tindakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast