SHAH ALAM – Proses kemasukan ahli baharu Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah di bawah urusan Setiausaha Agung parti, kata Datuk Seri Amiruddin Shari.
Justeru beliau yang Naib Presiden PKR berkata, status pengesahan ahli baharu ke dalam PKR tidak ditentukan oleh jawatan ketiga tertinggi parti itu.
“Status kemasukan ahli baharudi bawah urusan Setiausaha Agung parti, bukan Naib Presiden,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas mesyuarat Jawatankuasa bersama Penyelarasan Industri (JBI) Selangor di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau diminta mengulaskan status keahlian Tengku Zafrul di dalam PKR ketika ini.
Pada akhir Mei lalu, Tengku Zafrul mengumumkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Susulan pengumuman itu, beliau telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada presiden dan setiausaha agung parti tersebut.
Tengku Zafrul menambah, beliau akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR.
Tengku Zafrul, 51, mula menceburi arena politik sebagai Bendahari UMNO Selangor dan kemudian meletakkan jawatan pada 1 April tahun lalu.
Selain itu, Tengku Zafrul pernah mencuba nasib dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 di Kuala Selangor tetapi tewas dengan hanya satu peratus undi.
Di peringkat parti, beliau merupakan ahli MKT UMNO.
Tengku Zafrul juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari Mac 2020 hingga Oktober 2022. – MalaysiaGazette
















