KUALA LUMPUR – Ketegasan Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui kutipan semula pinjaman adalah demi memastikan kesinambungan bantuan kepada generasi baharu usahawan dan pelajar dalam kalangan Bumiputera.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia penting bagi memastikan lebih ramai lagi dapat dibantu.
“Ada terima mesej personal kenapa saya keras sangat kepada penghutang MARA, tiga bulan tak bayar dapat notis, kata nak tolong Melayu.
“Maaf ya! Sebab nak tolong Melayulah hutang wajib dibayar. Ramai lagi anak bangsa perlu dibantu,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi berkata, peminjam Mara disarankan supaya tidak melepaskan peluang menikmati pengurangan bayaran balik pinjaman pelajaran.
Jelasnya, dasar pengurangan bayaran balik pinjaman pelajaran itu telah dipersetujui dan diluluskan oleh majlis itu.
Beliau dilihat lantang menegur tindakan peminjam yang ‘liat’ membayar hutang selepas dibantu oleh Mara. – MalaysiaGazette
















