KUALA LUMPUR- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mendesak pihak berwajib di peringkat Persekutuan supaya mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik dengan segera.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mencontohi enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang berani mengambil langkah proaktif pencegahan awal dengan menguatkuasakan larangan penjualan vape serta tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik itu.
“MCPF berpendapat, jika perkara ini dibiarkan dan tidak ditangani lebih awal, maka ia dibimbangi semakin melarat seperti isu penagihan dan penyalahgunaan dadah yang kekal menjadi musuh nombor satu negara sejak 1980-an,” katanya menerusi kenyataan.
MCPF turut menyokong penuh langkah Kementerian Kesihatan (KKM) yang ingin mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di negara ini.
Yayasan tersebut menyifatkan langkah berkenaan penting bagi melindungi kesihatan awam, khususnya golongan belia dan orang belum dewasa (OBD) yang semakin terdedah kepada risiko penggunaan produk berbahaya tersebut.
“Kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Public Health pada 2024 merekodkan lebih sejuta individu di England kini menggunakan vape meskipun tidak pernah merokok sebelum ini.
“Perkara ini mencetuskan kebimbangan pakar kesihatan sedunia kerana vape kini bukan sahaja digunakan oleh perokok tegar untuk berhenti merokok tetapi telah menarik golongan yang belum pernah mengambil tembakau sebelum ini,” jelasnya.
Malah tambah yayasan itu, tabiat menghisap vape atau rokok elektronik secara berterusan boleh mengakibatkan pengguna rokok elektronik itu terdedah kepada penyakit kronik seperti batuk, kahak berlebihan, sesak nafas serta keradangan paru-paru.
“Lebih parah, pengguna boleh mengalami kerosakan paru paru akut atau dikenali sebagai ‘E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI) yang boleh membawa maut,” katanya.
MCPF dalam masa yang sama turut mencadangkan supaya KKM memperketatkan kawal selia terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Selain itu, yayasan itu turut menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pemantauan bersepadu bagi menghentikan pembekalan dan perjualan rokok seludup.
“Selain itu, pemantauan berkala perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengesan penjualan produk vape secara haram menerusi platform dalam talian kepada golongan belia.
“Keberadaan rokok seludup dalam pasaran memberi persepsi negatif kepada pihak berkuasa dan kerajaan dalam menangani gejala ini,” ujarnya.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian itu sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya terhadap penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape bagi mengekang isu penyalahgunaan produk itu secara lebih berkesan.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaannya dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak kepada perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.-MalaysiaGazette
















