KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah pangsapuri di Taman Kuchai Entrepreneurs di sini sebagai stor penyimpanan bunga ganja bernilai RM1.48 juta diserbu dalam satu operasi yang dijalankan pada 29 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 12 tengahari itu merupakan hasil risikan hingga membawa kepada penahanan empat individu.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan serta tiga warga asing (dua wanita dan seorang lelaki) berusia antara 26 hingga 30 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut di ruang tamu pangsapuri tersebut telah menjumpai lapan buah kotak berwarna coklat di dalamnya berisi 91 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki bunga ganja anggaran berat 42.3 kilogram di mana nilai pasaran dadah dianggarkan RM1.48 juta.
“Jumlah dadah yang dirampas mampu merosakkan seramai 84,570 orang yang menggunakannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Hussein menjelaskan, sindiket terbabit menggunakan modus operandi menyimpan dadah dalam unit apartment sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Kesemua suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 30 Julai hingga 5 Ogos ini.
Dalam pada itu beliau berkata, saringan awal air kencing menunjukkan semua suspek negatif dadah, namun seorang daripada mereka memiliki satu rekod jenayah lampau.
Ujarnya, tindakan susulan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, JSJN turut menyita pelbagai aset bernilai RM93,350 termasuk dua kereta, tiga utas jam tangan mewah, barang kemas serta sebuah telefon bimbit.
Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM17.9 juta.
Sehubungan itu, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian Hotline JSJN di 012-208 7222 bagi membantu membanteras musuh nombor satu negara itu. – MalaysiaGazette
















