KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mengorbankan kepentingan nasional demi mendapatkan layanan istimewa dalam rundingan tarif timbal balik dengan Amerika Syarikat (AS).
Sebaliknya, jelas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, rundingan itu mengekalkan keunikan dasar negara termasuk perlindungan kepada industri strategik dan syarat bumiputera.
Dalam masa sama, tegas beliau, Malaysia dalam rundingan itu berpegang teguh kepada prinsip bahawa tiada kompromi terhadap dasar-dasar strategik negara.
Ia tambah beliau, termasuk pemerkasaan vendor tempatan dan syarikat bumiputera serta dasar penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan.
Selain itu, ujar beliau, Malaysia juga teguh dengan perlindungan sektor dan industri yang kritikal kepada ekonomi negara, syarat kemasukan import barangan halal dari AS dan pembukaan sepenuhnya pasaran automotif.
“Pada masa yang sama, rundingan ini menjadi peluang penting untuk Malaysia menilai semula dasar, proses serta birokrasi sedia ada, khususnya berkaitan halangan bukan tarif dan prosedur yang lapuk, bertindih atau tidak lagi relevan.
“Penambahbaikan yang dipersetujui secara langsung meningkatkan ease of doing business, menjadikan Malaysia lebih kompetitif, dan menarik pelaburan utama di rantau ini,” katanya pada sesi pengumuman mengenai kadar baharu tarif timbal balas AS ke atas Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia mendapat pengurangan kadar tarif perdagangan pada 19 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini, berkuat kuasa 7 Ogos ini.
Perkara itu disahkan selepas Presiden AS, Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif bagi mengubah kadar tarif timbal balik ke atas beberapa negara.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kadar tarif yang setara dikenakan AS adalah disebabkan pengiktirafan terhadap kepentingan Malaysia sebagai rakan dagang utama serta keupayaan negara ini menawarkan komitmen perdagangan dan pelaburan yang berkualiti, walaupun tanpa perlu membuka sepenuhnya semua sektor.
Ujarnya, Malaysia juga membuktikan kedudukan penting sebagai negara yang stabil, berdaya saing dan dipercayai dalam rantaian bekalan global.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa negara-negara membangun seperti Malaysia boleh mendapatkan akses dagangan antarabangsa tanpa perlu tunduk kepada tekanan liberalisasi mutlak.
“Model ini juga memberi contoh kepada negara serantau bahawa ‘red lines’ boleh dipertahankan jika negara jelas dengan nilai, strategi, dan komitmen yang ditawarkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















