Logo Angkatan Tentera Diraja Thailand

BANGKOK – Kerajaan Thailand menafikan dakwaan kononnya anggota tentera negara itu melakukan kekejaman terhadap askar Kemboja.

Tegasnya, maklumat tular di media sosial itu adalah palsu dan sengaja disebarkan bagi menimbulkan kebencian serta meningkatkan ketegangan dua hala.

Menurut Timbalan Jurucakap Kerajaan, Sasikarn Watthanachan, semua dakwaan termasuk imej dan mesej yang menuduh tentera Thai melakukan kekejaman seperti memenggal kepala dan mencemarkan mayat tentera Kemboja, adalah tidak berasas.

“Kami menafikan sepenuhnya tuduhan ini. Ia adalah cerita rekaan yang tidak berlandaskan fakta, bertujuan menimbulkan kebencian dan mencetuskan kekacauan antara rakyat Thailand dan Kemboja,” katanya.

Tambah beliau,  tentera Kemboja yang cedera dalam pertempuran berhampiran sempadan baru-baru ini telah diberikan rawatan perubatan oleh anggota tentera Thai sebelum dihantar pulang dengan selamat melalui pusat pemeriksaan sempadan Chong Chom di wilayah Surin.

Kementerian Ekonomi dan Masyarakat Digital (DES) turut mengeluarkan senarai 10 berita palsu paling banyak tersebar sepanjang minggu lalu, semuanya berkait dengan ketegangan yang meningkat di sepanjang sempadan Thai–Kemboja.

Antara berita palsu tersebut ialah laporan kononnya tentera Thai memenggal kepala tentera Kemboja, dakwaan bahawa 140 anggota tentera Thai terkorban dalam pertempuran, khabar angin 40 tentera terbunuh dan 30 lagi ditawan, serta dakwaan bahawa Norway menyumbangkan jet pejuang F-16 kepada Thailand.

Laporan palsu lain termasuk dakwaan Gabenor Surin mengisytiharkan “zon bencana peperangan”, tuduhan bahawa Thailand telah merampas semula kuil Preah Vihear, laporan senjata biologi digunakan terhadap Kemboja, cerita rekaan tentang bahan kimia toksik dijatuhkan ke atas orang awam, kempen kutipan dana tentera yang palsu, dan dakwaan palsu bahawa Kementerian Pertahanan telah menghentikan bantuan perubatan kepada rakyat Kemboja.

“Kami menyeru orang ramai untuk tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan dan merujuk kepada sumber rasmi,” kata Sasikarn.

Orang awam digalakkan melaporkan kandungan mencurigakan kepada Pusat Anti-Berita Palsu melalui talian hotline 1111, ID Line @antifakenewscenter, atau laman web www.antifakenewscenter.com.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Jirayu Houngsub, yang turut berkhidmat dalam Pusat Pengurusan Situasi Sempadan Thai-Kemboja, berkata setakat jam 7 pagi Ahad, tiada lagi pertempuran dilaporkan. – AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast