PETALING JAYA – Seorang doktor pakar psikologi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa perkataan ‘mengabaikan’ dalam pertuduhan pindaan terhadap ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin, tidak menepati definisi pengabaian.
Ketidaktepatan defisi itu termasuk yang ditetapkan oleh Pertubuhan Psikologi Amerika Syarikat (APA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Saksi pembelaan, Dr Noor Aishah Rosli, 49, menjelaskan, berdasarkan takrifan profesional, pengabaian perlu melibatkan empat elemen utama iaitu pengabaian dari segi emosi, fizikal, pendidikan dan keperluan asas.
Tambahnya, elemen-elemen ini hanya boleh diklasifikasikan sebagai pengabaian sekiranya berlaku secara konsisten dan berterusan dalam satu tempoh masa.
Ketika prosiding hari ini, Noor Aishah yang mempunyai lebih 20,000 jam pengalaman bekerja bersama kanak-kanak berkeperluan khas termasuk autisme, ADHD dan IQ rendah memaklumkan beliau diwajibkan menghabiskan 3,000 jam latihan klinik ketika berada di Amerika Syarikat (AS).
Beliau yang memiliki sijil kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia menyatakan sudah meneliti laporan polis berkaitan insiden kehilangan Zayn Rayyan, termasuk kenyataan ibu mangsa bahawa anaknya seorang OKU autisme yang tidak boleh bercakap.
Tertuduh, Ismanira Abdul Manaf yang sedang membela diri ketika ini pernah mendakwa di mahkamah dia telah berusaha mencari anaknya di sekitar kawasan rumah tetapi tidak menjumpainya.
“Ketika hilang, Zayn Rayyan lengkap memakai pakaian sekolah. Saya dapati dalam dokumen yang saya baca, ibu berjalan di hadapan dan anak berjalan di belakang, dalam situasi itu tiada tanda pengabaikan dapat disimpulkan,”katanya ketika menjawab soalan peguam bela.
Noor Aishah turut dirujuk kepada laporan bedah siasat dan mengesahkan telah membacanya tentang laporan yang menyebut terdapat kecederaan pada badan, telinga, kepala dan kemaluan mangsa tetapi tiada tanda mangsa melawan.
Apabila ditanya sama ada laporan tersebut menyebut tentang penderaan, beliau menjawab: “Laporan menyebut kecederaan dialami konsisten dengan elemen penderaan namun tidak dinyatakan secara eksplisit bahawa berlaku pengabaian,” ujarnya.
Beliau turut diminta membandingkan laporan-laporan perubatan dan laporan polis dengan definisi pengabaian mengikut APA dan WHO namun katanya tidak memenuhi definisi pengabaian.
Noor Aishah yang mengesahkan telah membaca laporan perubatan daripada hospital dan menegaskan tiada bukti dalam laporan tersebut yang menunjukkan arwah Zayn Rayyan adalah mangsa pengabaian.
Difahamkan beliau turut diperlihatkan keterangan beberapa saksi pendakwaan termasuk Dr Nur Hanisah yang membuat membuat laporan perubatan Zayn Rayyan bekerja di Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL) Hospital Sungai Buloh dan Dr Bernice seorang pakar pediatrik.
Namun kata Noor Aishah, Bernice sendiri mengakui beliau bukan pakar psikologi dan tidak layak memberikan pandangan profesional dalam konteks pengabaian kanak-kanak.
“Yang layak memberi pandangan mengenai isu ini ialah pakar psikologi kanak-kanak seperti saya,” tegasnya.
Prosiding kes ini dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.
Ismanira kini membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya bersama suami, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah baru-baru ini memutuskan untuk melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar Blok R, Apartment Idaman sehingga ke kawasan sungai berhampiran lokasi tersebut antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh TPR Raja Zaizul Faridah bersama Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala Ismanira diwakili peguam bela Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. -MalaysiaGazette
















