KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan berbincang dengan Kementerian Kewangan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mempertimbangkan penyediaan insentif pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat yang menyumbang secara langsung kepada program atau aktiviti perpaduan di peringkat komuniti.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program berteraskan perpaduan dan integrasi nasional harus dijadikan fokus utama dalam pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh syarikat-syarikat di negara ini.

Ini kerana perpaduan bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi merupakan usaha kolektif seluruh rakyat termasuk sektor korporat, masyarakat sivil dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 di Kudat, hari ini.

Terdahulu, beliau menyeru agar lebih banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta syarikat korporat untuk tampil aktif dan berperanan dalam menganjurkan program pembangunan komuniti yang berteraskan perpaduan dan integrasi nasional.

Program Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 akan menjelajah Borneo selama 15 hari, merentasi jarak lebih 1,500 kilometer bermula dari Tips of Borneo, Mengayau Kudat sehingga ke Teluk Melano, Sarawak.

Program berkenaan memberi fokus tiga teras utama iaitu agenda perpaduan dan integrasi nasional, agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kempen Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal tiba tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast