KUALA LUMPUR –  Aksi menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dipercayai punca nahas lima kenderaan di Kilometer 9.6 Lebuhraya Guthrie hala selatan pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya telah mengesan kejadian tular di media sosial itu berlaku sekitar jam 12.40 tengah malam.

“Siasatan mendapati, insiden berlaku semasa sebuah kereta dari Elmina menghala ke Meru, Klang telah memperlahankan kenderaan untuk mengelak dua motosikal yang terbabit kemalangan lebih awal di lokasi kejadian

“Kemudian, datang sebuah lagi  kereta dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta berkenaan sebelum sebuah kereta ketiga turut merempuh belakang kereta kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ketiga-tiga kereta terlibat hanya mengalami kerosakkan dan tiada kecederaan dilaporkan ke atas penumpang serta pemandu.

“Kita masih lagi mengesan dua penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan dan identiti mereka belum dikenal pasti.

“Bagaimanapun, kita percaya kemalangan itu berpunca daripada cara pemanduan serta menunggang motosikal yang tidak berhemah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Hafiz berkata, kes akan disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram atau samseng jalanan yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Jalan raya bukan tempat untuk berlumba, aktiviti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” ujarnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafa’e di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di 03-61561222.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman papan pemuka dashcam  memaparkan kemalangan melibatkan beberapa buah kenderaan di lebuh raya termasuk motosikal dipercayai sedang berlumba. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast