BALIK PULAU – Bekas pekerja stor kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri lima kotak cip elektronik bernilai lebih RM1.15 juta milik kilang dia bekerja, pada April lalu.
Tertuduh, Ruhaizzat Rusol, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri lima kotak Xilinx Virtex Ultra Scale cip No ASIC-00947 yang mengandungi 180 keping cip, dianggarkan bernilai RM1.157 juta milik Jabil Circuit Sdn. Bhd.
Lelaki yang masih bujang itu didakwa dilakukan jam 3.30 petang di dalam sebuah stor berkunci dan berpagar di Bangunan Jabil Plant 2, Bayan Lepas, di sini, pada 26 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan serahkan pasport kepada mahkamah susulan nilai barang kes tinggi.
Bagaimanapun, peguam, Edmund Anthony Hermon dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon jaminan minima atas alasan tertuduh bekerja sebagai pemandu e-hailing selain perlu menyara ibunya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 25 September depan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam. – MalaysiaGazette
















