KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan, corak bekerja dalam kepompong atau secara silo tidak lagi relevan di negara ini.
Sebaliknya beliau berkata, setiap agensi perlu beralih daripada mengamalkan budaya ‘agensi eksklusif’ kepada budaya ‘sistem kolaboratif’.
“Program Sinergi Sosial ini amat selari hasrat kerajaan Madani iaitu menjadikan dasar-dasar sosial lebih manusiawi lebih responsif dan lebih berteraskan rakyat.
“Malah ia bukan sekadar slogan tetapi ikhtiar strategik untuk mengimbangi pembangunan material dengan kesejahteraan insan,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Sinergi Sosial 2025 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Terdahulu Perkeso memeterai Memorandum Kerjasama melibatkan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan One Hope Welfare & Charity.
Kerjasama Perkeso bersama tiga rakan strategik diyakini berupaya memperkukuh matlamat ke arah membina sistem perlindungan sosial yang menyeluruh, terangkum dan mampan.
Asas kerjasama itu antara lain penyaluran prospek penerima bantuan secara rentas agensi, perkongsian dan pemadanan data secara bersasar serta pemerkasaan modal insan melalui pembangunan kemahiran dan sokongan sosio ekonomi.
Sementara itu, katanya, lebih 390,000 ketua isi rumah dikategorikan sebagai miskin, termasuk hampir 1,800 lagi miskin tegar berdasarkan kepada perangkaan eKasih, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
“Saya menaruh keyakinan pendekatan kerjasama dalam kalangan 117 agensi dengan penyertaan 862 pemimpin masyarakat dari seluruh negara dapat memastikan lebih ramai individu memerlukan dapat disantuni dan dibantu.
“Kejayaan ini bukan sekadar memberi manfaat kepada penerima bantuan, malah memperkukuh keupayaan agensi pelaksana dalam menyampaikan perkhidmatan secara lebih bersepadu, cekap dan berkesan,” katanya.
Kongres Sinergi Sosial edisi ketiga tahun ini yang dihadiri lebih 400 peserta bertemakan ‘Budaya atau Proses’ untuk mengupas kepentingan menggabungkan budaya kemanusiaan dengan sistem penyampaian cekap. – MalaysiaGazette
















