KUALA LUMPUR – Setiausaha Publisiti DAPSY, Ho Chi Yang meminta semua pihak terutamanya ahli-ahli politik bersifat matang serta profesional dalam isu Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina, di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata berkata, ahli-ahli politik seharusnya berhenti mencetuskan kebencian dalam masyarakat dan bersikap tin kosong untuk berlagak hero.
“Kita semua mengakui bahawa Bendera Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan, dan identiti negara kita yang berdaulat.
“Setelah isu Jalur Gemilang terbalik berlaku, pihak sekolah telah menyedari kesilapan dan memohon maaf secara terbuka.
“Kesilapan ini didapati dilakukan oleh seorang pekerja sekolah yang merupakan individu berkeperluan khas atau orang kurang upaya intelektual (OKU),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Chi Yang, kesilapan dalam pemasangan Jalur Gemilang itu pernah dilakukan oleh pegawai Kementerian Pendidikan dan Himpunan TMT yang dilancarkan oleh PAS sebelum ini, bagaimanapun selesai setelah mereka memohon maaf.
“Memandangkan pihak sekolah kini telah memohon maaf, sama seperti pihak KPM dan penganjur himpunan TMT sebelum ini, kenapa sesetengah ahli politik yang seharusnya menjadi pemimpin masyarakat yang berwibawa masih berlagak hero dan mengapi-apikan kebencian?,” katanya lagi.
Ujar beliau, setiap agama sentiasa mengajar penganutnya erti kasih sayang dan pengampunan.
Maka, segala kebencian dalam masyarakat harus dileraikan dengan nilai rahmah dan kasih sayang.
“Kita perlukan pemimpin masyarakat termasuk ahli politik yang menjadi teladan, bukan duri dalam daging yang menjadi agen perosak keharmonian dan perpaduan.
“Hakikatnya tiada manusia yang sempurna. Adakah sesetengah ahli politik yang suka berlagak hero itu merasakan dirinya begitu sempurna?,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, sekolah itu memohon maaf secara terbuka susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis sekolah berkenaan, Jumaat lalu.
Kementerian Pendidikan (KPM) kemudiannya dilaporkan akan mengambil tindakan tegas terhadap sekolah terbabit.
Menterinya, Fadhlina Sidek dilaporkan, berkata sebarang tindakan akan dilakukan selepas pihaknya mendapat laporan penuh siasatan berhubung kes berkenaan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN















