SUNGAI PETANI – Sebuah kilang kitar semula bateri terpakai yang beroperasi secara haram di kawasan Perindustrian Bukit Selambau di sini, diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dalam satu operasi khas, hari ini.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, serbuan menerusi Ops Gempur itu dijalankan selepas premis berkenaan dikesan menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) serta lesen sah daripada pihak berkuasa.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan lebih 100 metrik tan bateri mengandungi lithium, 317 metrik tan bateri yang telah dihancurkan serta 20 metrik tan serbuk logam dipercayai hasil pemerolehan semula, yang semuanya dikategorikan sebagai buangan terjadual.
“Kilang berkenaan bukan sahaja gagal mematuhi keperluan undang-undang, malah dipercayai menyumbang kepada pencemaran alam sekitar serta berpotensi mendatangkan risiko kesihatan kepada orang awam.

“Mesin-mesin pengeluaran di premis itu turut dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) kerana beroperasi tanpa sebarang alat kawalan dan tanpa kebenaran JAS.
“Kes disiasat mengikut tiga seksyen bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu Seksyen 18(1) kerana menjalankan pemerolehan kembali tanpa lesen; Seksyen 34A(6) kerana beroperasi tanpa kelulusan EIA; dan Seksyen 34B(1) kerana menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Alam Sekeliling,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah beliau, JAS memberi jaminan akan terus meningkatkan pemantauan dan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pengurusan sisa berjadual secara haram.
Orang awam diseru untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman eaduan.doe.gov.my. – MalaysiaGazette
















