Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang membangunkan sebuah aplikasi berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu siasatan jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian, pemalsuan identiti dan penyebaran maklumat palsu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, aplikasi itu sedang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui agensi CyberSecurity Malaysia.

“Aplikasi ini bertujuan mengesahkan ketulenan gambar dan video, sekali gus menyokong usaha siasatan terhadap jenayah siber seperti penipuan digital,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan dalam membangunkan teknologi AI untuk menangani jenayah penipuan termasuk siber.

Selain pembangunan teknologi tersebut, kementerian turut memaklumkan bahawa kerajaan kini sedang merangka beberapa garis panduan berkaitan penggunaan AI secara selamat dan beretika, termasuk Penilaian Impak Perlindungan Data (DPIA), Reka Bentuk Berdasarkan Perlindungan Data (DPbD), serta Pembuatan Keputusan Automatik dan Pemprofilan (ADM).

Garis panduan itu sedang disediakan oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan dijangka siap antara Januari hingga Mac 2026.

“Bagi sektor awam, Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (GPAISA) telah dibangunkan untuk membantu agensi melaksanakan penggunaan AI secara bertanggungjawab dan patuh undang-undang,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan turut meningkatkan kapasiti dan latihan kepada agensi penguat kuasa serta penjawat awam melalui program seperti AI for Rakyat dan MD Workforce Training oleh MDEC.

“Kementerian komited untuk memperhebat pembangunan ekosistem AI yang selamat, bertanggungjawab dan berdaya tahan bagi menangani jenayah penipuan secara menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast