KUALA LUMPUR – Cadangan pembangunan bersama (Joint Development) antara Malaysia dan Indonesia di Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kedua-dua pihak masih meneroka kebarangkalian kerjasama tersebut dan setakat ini tiada butiran khusus yang diperincikan oleh Malaysia atau Indonesia.
“Ini merupakan usaha-usaha awal kedua-dua pemimpin dalam mencari penyelesaian terbaik. Sebarang keputusan yang diambil perlulah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya pada sesi pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) dan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang membangkitkan kebimbangan berhubung kedaulatan maritim negara serta jaminan agar Sabah tidak terpinggir dalam pelaksanaan kerjasama tersebut.
Menjawab menegnai kebimbangan kerjasama ini mungkin menjejaskan kedaulatan maritim negara, Mohamad berkata, Malaysia kekal dengan pendirian bahawa Blok ND6 dan ND7 terletak dalam kawasan kedaulatan negara berdasarkan undang-undang antarabangsa dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002.
Keputusan tersebut, yang memberi kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia, mengabsahkan hak kawasan maritim negara yang diunjurkan dari kedua-dua pulau berkenaan, ujarnya.
“Rujukan kepada kawasan ini yang lebih tepat adalah Laut Sulawesi dan bukannya ‘Ambalat’ seperti diguna pakai oleh pihak Indonesia,” katanya.
Dalam usaha menyelesaikan isu tuntutan bertindih ini, jelas beliau, rundingan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia telah dijalankan melalui Mesyuarat Teknikal Pembatasan Sempadan Maritim yang ditubuhkan sejak 2005.
“Malaysia komited memuktamadkan sempadan secara aman melalui mekanisme diplomatik, undang-undang dan teknikal sedia ada,” tambahnya.
Katanya, kerajaan turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan terus dilibatkan dalam setiap keputusan yang memberi kesan langsung kepada negeri itu.
“Wakil Kerajaan Sabah dilibatkan dalam mesyuarat dan rundingan teknikal. Pandangan Sabah akan terus diambil kira demi memastikan kedaulatan dan hak negara, khususnya Sabah, sentiasa terpelihara,” katanya.
Kerajaan Persekutuan juga memberi jaminan bahawa sebarang usaha kerjasama serantau bersama Indonesia tidak akan menjejaskan hubungan baik dua hala, malah akan terus dilaksanakan secara damai dan berdasarkan prinsip saling menghormati. – MalaysiaGazette















