KUALA LUMPUR – Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) digalakkan beralih kepada platform MyMall sebagai alternatif kepada tekanan peningkatan kadar komisen di platform e-dagang arus perdana seperti Shopee, TikTok dan Lazada.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, MyMall merupakan platform e-dagang yang dibangunkan kerajaan dan ditawarkan secara percuma kepada usahawan tempatan sejak tahun 2022.
“MyMall bukan sekadar ruang pemasaran dalam talian, ia merupakan satu ekosistem digital yang direka khusus untuk membantu PMKS dan koperasi menghadapi cabaran peningkatan kos perniagaan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Lee Chuan How (PH-Ipoh) di Dewan Rakyat hari ini.
Chuan How telah bertanya langkah KUSKOP untuk melindungi kepentingan usahawan daripada tekanan kos susulan kenaikan komisyen jualan platform e-dagang seperti Shopee, TikTok dan Lazada.
Menurut Ramanan, sebanyak 3,407 peniaga telah berdaftar di MyMall dengan nilai jualan direkodkan mencecah RM24.3 juta setakat 31 Julai tahun ini.
“Ini menunjukkan pertumbuhan positif dengan peningkatan nilai jualan sebanyak RM15 juta dalam tempoh hanya tujuh bulan pada tahun ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan bagi membantu usahawan meningkatkan keupayaan digital serta daya tahan terhadap tekanan kos termasuk Program EmpowerPPK yang memberi latihan percuma kepada penjaja dan peniaga kecil bagi meningkatkan kemahiran berniaga secara digital.
“Sehingga Jun 2025, seramai 210 peserta telah dilatih. Namun, jumlah peserta dan skop latihan masih terhad disebabkan kekangan peruntukan tahunan sebanyak RM30,000.
“Kementerian sedang berusaha memohon peruntukan tambahan supaya lebih ramai usahawan informal dan mikro mendapat manfaat program ini,” ujarnya.
Selain itu, Studio TikTok Shop Live Hub turut diwujudkan menerusi kerjasama antara TEKUN Nasional dan TikTok Malaysia.
“Studio ini membolehkan usahawan melakukan penstriman langsung dengan kemudahan peralatan moden untuk meningkatkan kandungan promosi dan jualan produk.
“Sebanyak 12 siri bengkel promosi dan perniagaan atas talian telah dianjurkan sehingga Julai 2025, melibatkan penyertaan seramai 258 usahawan,” tambahnya.
KUSKOP turut menyediakan Sesi Konsultasi Perniagaan (BizClinic) yang dikendalikan oleh INSKEN secara percuma bagi membantu usahawan menangani cabaran kos operasi, strategi penjimatan, pengurusan kewangan dan penyelesaian perniagaan. – MalaysiaGazette
















