Tular foto yang memaparkan seorang pemandu kereta berdaftaran Singapura mengisi RON95 do sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor membuka kertas siasatan berhubung aduan tular melibatkan sebuah kereta Singapura mengisi petrol RON95 dalam tong plastik di sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri.

Menurut kenyataan KPDN Johor, kejadian tersebut dikesan berlaku di Iskandar Puteri dan mendapat perhatian pihak berkuasa selepas tular dalam media sosial.

“Semalam sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Johor menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terlibat dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), memeriksa resit pembelian serta mendapatkan maklumat daripada pemilik stesen minyak,” katanya.

KPDN Johor turut memberi amaran kepada pengusaha stesen minyak agar lebih berwaspada dan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika melibatkan individu.

“Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, individu boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

“Sementara bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama, denda maksimum adalah RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berulang,” menurut kenyataan itu lagi.

Kelmarin tular di media sosial gambar seorang pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dilihat mengisi RON95 ke dalam sebuah botol plastik di sebuah stesen minyak yang didakwa terletak di Iskandar Puteri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast