AMPANG -“Saya sudah pesan jangan naik tapi itu kehendak dia, katanya, dia mahu ke istana puteri bunian”.
Itu cerita sebak seorang bapa, Nazri Harun, 69, mengenai anak lelakinya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU), Norhafsham yang belum ditemui selepas empat hari memasuki kawasan Bukit Tabur di sini minggu lepas.

Menurut Nazri, anaknya yang berusia 40-an itu sering mengunjungi kawasan takungan air berhampiran kawasan berkenaan untuk mandi namun tidak pernah naik ke kawasan puncak.
Menurut Nazri, kali terakhir anaknya dilihat memakai baju-T dan seluar panjang berwarna hitam.
“Saya ada hantar dia ke kawasan parkir di sini pada 3 petang Jumaat lalu sebab kalau saya tak hantar dia, dia mahu pergi sendiri kerana dia sudah pegang kunci kereta tetapi apabila saya datang semula pada 9.30 malam, orang di situ maklumkan tidak nampak dia sejak petang.
“Selepas itu, pekebun jumpai satu beg galas dipercayai miliknya di lokasi susur menaiki Bukit Tabur Taman Melawati,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas perubahan sikap anaknya, Nazri memberitahu tiada sebarang perlakuan luar biasa dikesan namun mengakui anaknya lebih suka bersendirian.
Tambah Nazri, anaknya mula mengalami kemurungan sejak bercerai dengan isterinya.
“Sehinggalah pada awal bulan Mac 2018, anak saya mula meracau-racau dan mula datang ke Bukit Tabur setiap hari,” jelasnya.
Ditanya harapan terhadap operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini, Nazri hanya mampu mengharapkan keajaiban.
“Memang risau lagilah. Tak berhenti risau. Tapi saya harap hari ini jumpa,” katanya dengan mata yang mula berkaca. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















