KUALA LUMPUR – Tiga pempengaruh telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran video yang memaparkan mereka memberikan sisa makanan kepada seorang gelandangan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, proses siasatan dan rakaman keterangan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor, hari ini.
Tambahnya, pihak berkuasa turut menyita tiga unit telefon bimbit serta tiga keping kad SIM bagi membantu siasatan.
“Kandungan video berkenaan dipercayai bersifat jelik melampau dan mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan warganet, selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pada masa sama, MCMC menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif literasi digital melalui Kempen Internet Selamat (KIS).
Katanya, kempen itu bagi membentuk masyarakat yang celik digital, beretika dan bertanggungjawab.
Inisiatif tersebut katanya turut menyemai budaya penciptaan kandungan yang berhemah, beretika dan beradab, selain meningkatkan kesedaran terhadap nilai-nilai murni dalam ekosistem digital negara. -MalaysiaGazette
















