Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika menghadiri ceramah kelompok Perikatan Nasional sempena pilihan raya kecil Dun Mahkota di Taman Emas, Kluang. Foto SADIQ SANI, 20 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau pernah membuat kenyataan bahawa warga asing juga harus mendapat subsidi minyak.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh berkenaan, dakwaan itu yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat awal hari ini adalah satu fitnah dan pembohongan.

Sehubungan itu, beliau menuntut Anwar memberikan bukti dalam tempoh segera sekiranya beliau sama ada menerusi ucapan, sidang akhbar atau kenyataan media pada bila-bila masa pernah membuat kenyataan seperti yang didakwa.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan itu kerana saya tahu sejak dari dulu lagi asas dan dasar kita berkenaan pemberian subsidi adalah untuk rakyat Malaysia, bukannya kepada warga asing.

“Ini bermakna Perdana Menteri tidak membuat semakan yang betul dan membuat kenyataan di Parlimen seolah-olah kenyataan itu semuanya adalah betul.

“Jadi saya minta Perdana Menteri memberikan bukti dalam sehari dua ini, dari sumber mana kenyataan itu diperolehi dan sama ada sumber itu sahih atau palsu.

“Dan kalau palsu bermakna itu sudah merupakan satu fitnah dan pembohongan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mempersoalkan apabila terdapat wakil rakyat pembangkang yang menyifatkan seolah-olah penyelarasan subsidi akan membebankan warga asing.

Ekoran kenyataan itu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangkit mendesak Anwar menyatakan Ahli Parlimen yang dimaksudkan berkenaan.

“Yang Berhormat (Rasol), ketua sendiri pun tak baca, itu kenyataan ketua sendiri. Pagoh (Muhyiddin). Lain kali baca dahulu sebelum datang Parlimen.

“Jangan pakai hentam sahaja, kalau di luar (Parlimen) bolehlah, saya tak jawab, tapi ini saya sudah jawab.

“Baca kenyataan YB Pagoh (Muhyiddin). Mengapa bebankan orang asing kerana orang asing pun ada sumbangan kepada negara.

“PM dia buat homework (ulang kaji) sebelum datang Parlimen,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian ketika sesi jawapan Menteri bagi menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) berhubung sama ada Kerajaan MADANI menguruskan hutang negara dengan bertanggungjawab memandangkan hutang naik daripada RM1,079.1 bilion pada tahun 2022 kepada RM1,247.6 bilion pada hujung tahun lalu. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast