KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman dua pemilk syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah lebih RM800,000 daripada seorang individu.
Menurut sumber, suapan itu adalah balasan kerana membantu individu terbabit dalam urusan permohonan mendapatkan lot tanah di daerah Kuching dari agensi Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Perintah reman selama enam hari sehingga 11 Ogos 2025 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Ling Hui Chuan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 Kuching pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sarawak.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan mendapatkan lot tanah di daerah Kuching bagi tujuan pembangunan komersial sedangkan permohonan tersebut tidak pernah wujud.
“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2020 hingga tahun 2021,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette















