Irwan Fahmi Ideris

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kesal terhadap insiden pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang dilaporkan berlaku, baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, insiden seumpama itu tidak boleh dipandang remeh lagi kerana Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan, maruah dan perpaduan negara.

Menurutnya, sama ada berlaku akibat kecuaian atau disengajakan, tindakan itu tetap mencerminkan kelalaian dalam menghormati simbol negara yang suci dan perlu dijaga oleh semua pihak.

“Perbuatan ini telah mencetuskan kemarahan rakyat yang cintakan negara serta menjunjung tinggi erti kemerdekaan dan nilai patriotisme.

“Kami menolak kenyataan Menteri Pengangkutan yang mendakwa isu ini cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu.

“Perkasa tidak berpolitik dalam hal ini. Kami bersuara atas dasar kesedaran sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan kecewa dengan kejadian yang berulang kali berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu tegas beliau, Perkasa menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sama ada insiden tersebut berpunca daripada kecuaian atau wujud unsur sabotaj terhadap negara.

“Tindakan tegas mesti diambil bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang pada masa hadapan,” ujarnya.

Irwan Fahmi turut mencadangkan agar satu garis panduan khusus diperkenalkan berkenaan pemasangan bendera di premis-premis kerajaan, sekolah dan institusi lain dan ia perlu diperiksa rapi sebelum dipamerkan kepada umum.

“Negara sudah lebih 60 tahun merdeka, namun masih wujud anasir-anasir yang boleh menggugat perpaduan nasional. Menghormati Jalur Gemilang adalah cerminan jati diri bangsa,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, semua pihak harus lebih peka, bertanggungjawab serta mengutamakan maruah negara dalam setiap tindakan yang melibatkan imej Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast