KAJANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbuka dalam mengamalkan pertukaran pegawai dan kakitangan melibatkan 11 agensi di bawahnya.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, amalan itu merupakan antara langkah efektif membendung gejala rasuah dan isu integriti dalam kalangan agensi penguat kuasa.
Malah, langkah itu selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025 yang menekankan pertukaran pegawai secara berkala amat penting untuk mengelakkan pembentukan jaringan kuasa tidak sihat hingga mendorong kepada rasuah serta salah guna kuasa.
Saifuddin Nasution berkata, kaedah pertukaran pegawai itu bukan sesuatu yang asing dan telah pun diamalkan secara meluas bukan sahaja dalam perkhidmatan awam, malah sektor swasta juga menjadikan pendekatan itu sebagai amalan biasa.
“Job rotation (amalan pertukaran pegawai) dikenal pasti sebagai satu kaedah berkesan untuk mengurangkan atau mengatasi isu integriti. Bila seseorang berada terlalu lama di satu lokasi atau jawatan tertentu, risikonya ada.
“Jadi kita lihat langkah ini dari sudut bagaimana ia dapat menyegarkan semula perkhidmatan, membina pengalaman pegawai serta mengurangkan potensi berlaku penyalahgunaan kuasa,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program i-DEEN Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2025 di Ibu Pejabat AADK, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh.
Saifuddin Nasution berkata demikan mengulas pertanyaan media mengenai laporan media tentang seorang pegawai imigresen dikenali sebagai “Thanos” yang didakwa terlibat dengan sindiket ‘fly’ dan ‘phantom travels’ (pengembara hantu) yang dipindah unit.
Laporan memetik sumber itu berkata, pegawai berkenaan dipindah daripada satu pasukan pengurusan imigresen Terminal 2, Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada unit lain, yang terlibat dalam kerja-kerja pejabat.
Saifuddin menambah, terdapat 11 agensi di bawah seliaan KDN yang terlibat dalam proses tersebut antaranya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen.
“Contohnya, pegawai AADK boleh ditukar ke imigresen dan begitu juga sebaliknya. Ini proses yang memang sedang berjalan di KDN sekarang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tempoh pertukaran tidak ditetapkan secara ketat dan boleh berbeza mengikut keperluan semasa.
“Tempohnya bergantung, boleh jadi dua tahun, empat tahun atau lima tahun. Ia sangat subjektif dan dibuat berdasarkan pertimbangan serta penilaian semasa oleh pengurusan kementerian,” katanya lagi.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada reformasi pentadbiran Kerajaan Madani dalam usaha membina budaya kerja yang telus, profesional dan bebas rasuah dalam perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette















