Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penanaman semula pokok kelapa sawit yang telah tua perlu dilaksanakan dengan lebih agresif bagi memastikan produktiviti negara dalam sektor komoditi itu kekal mampan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kegagalan melaksanakan proses penanaman semula mengikut kitaran hayat pokok sawit boleh menjejaskan hasil pengeluaran dan eksport negara.

“Penanaman semula pokok kelapa sawit ini satu perkara yang kritikal. Jika tidak dilakukan selepas 25 atau 26 tahun, hasilnya akan merosot dengan ketara dan hanya tinggal empat hingga lima tan sehektar berbanding potensi asal sebanyak 28 tan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN–Pasir Salak) yang membangkitkan tentang impak kelewatan penanaman semula terhadap industri sawit negara.

Menurutnya, syarikat-syarikat besar seperti Sime Darby, United Plantations dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) lebih bersedia dalam aspek ini kerana mempunyai kekuatan kewangan yang mencukupi.

“Kejayaan mereka terletak pada keupayaan untuk konsisten membuat penanaman semula. Sebab itu produktiviti mereka kekal tinggi dan eksport pun stabil,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, cabaran terbesar kini adalah dalam kalangan pekebun kecil yang mungkin kekurangan dana dan pengetahuan teknikal untuk melaksanakan proses tersebut secara sistematik.

“Kalau penanaman semula ini tidak dititikberatkan, negara akan berdepan masalah dari segi pengeluaran sawit dan eksport akan terkesan dalam jangka panjang,” jelasnya.

Kementeriannya juga sedang meneliti langkah yang boleh diambil bagi membantu pekebun kecil termasuk memperkukuh skim insentif serta sokongan teknikal demi memastikan sektor ini terus menyumbang kepada ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast