PEKAN– Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan saranan agar sebuah Jawatankuasa Auditor Kewangan Masjid ditubuhkan di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Titah baginda penubuhan jawatankuasa itu bagi memastikan pengurusan kewangan masjid di seluruh negeri dilaksanakan secara telus, profesional dan berintegriti.
“Kewangan masjid yang sebahagian besarnya berpunca daripada sumbangan dan derma masyarakat perlu diuruskan dengan penuh amanah dan tanggungjawab sejajar dengan kepercayaan yang diberikan oleh umat Islam.
“Oleh itu, setiap masjid perlu melalui proses audit kewangan secara berkala dan terperinci. Ini adalah langkah yang penting bagi memastikan setiap duit sumbangan masyarakat yang diterima dapat digunakan dengan bijaksana.
“Proses pengauditan ini juga akan memberi gambaran jelas kepada masyarakat tentang bagaimana sumbangan mereka digunakan untuk program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada umat Islam,” titah Al-Sultan Abdullah.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Ke-196 di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah semalam.
Dalam pada itu, baginda menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Auditor Kewangan Masjid sebagai satu mekanisme kawalan yang mampu mengelakkan ketirisan serta memastikan semua transaksi kewangan diurus mengikut piawaian pengurusan yang tinggi dan beretika.
Sultan Pahang turut mencadangkan agar masjid yang mencapai tahap pengurusan kewangan yang cemerlang serta lulus audit dengan baik diberikan sijil pengesahan di mana ia menjadi bukti kukuh untuk meningkatkan kepercayaan umat Islam terhadap pengurusan kewangan masjid. – MalaysiaGazette
















