Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

BALIK PULAU – Lelaki yang disyaki menceroboh rumah pempengaruh media sosial dikenali sebagai Choii di Batu Maung, di sini, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 8 Ogos itu dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Balik Pulau selepas permohonan dikemukakan oleh pihak polis.

Terdahulu, suspek berusia 21 tahun yang memakai jersi berwarna hijau dilihat tenang sebaik tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.12 pagi untuk prosiding permohonan reman, diiringi anggota polis.

MalaysiaGazette difahamkan, suspek patah balik ke rumah tersebut untuk mengambil seliparnya sebelum berjaya diberkas tuan rumah.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki ceroboh rumah Choii ketika amah buang sampah

Media semalam melaporkan, Ketua Polis Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan tangkapan suspek selain memaklumkan siasatan mendapati suspek memasuki rumah berkenaan melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar untuk membuang sampah.

“Sebaik sahaja menyedari kehadiran penghuni rumah, suspek melarikan diri, namun dia berpatah balik ke lokasi sama untuk mengambil barang yang tertinggal.

“Bagaimanapun, dia berjaya ditahan oleh pengadu dengan bantuan rakan-rakannya sebelum diserahkan kepada anggota polis MPV yang bertugas di Zon 3 Batu Maung,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Sazalee, hasil semakan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast