Tikun hotel kelahiran Malaysia, Ong Beng Seng (kiri) meninggalkan mahkamah di Singapura. - AFP

SINGAPURA – Seorang tikun hotel warga Malaysia yang membantu Singapura mendapatkan hak penganjuran perlumbaan kereta, Formula Satu mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menghalang keadilan dalam kes yang dikaitkan dengan seorang bekas Menteri yang telah dipenjarakan kerana menerima hadiah semasa menjadi kakitangan awam pada tahun lalu.

Jutawan yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng, 79, didakwa pada Oktober lalu kerana membantu bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran menutup bukti dalam siasatan yang dilakukan biro pencegahan rasuah negara tersebut.

Ong mengaku bersalah di mahkamah di tengah bandar raya Singapura hari ini.

Pendakwa raya mahukan hukuman penjara selama dua bulan dikenakan selepas Ong bersetuju untuk mengaku bersalah. Beliau akan menjalankan hukuman pada 15 Ogos ini.

Bagaimanapun pendakwa raya juga bersetuju dengan peguam bela bahawa mahkamah boleh melaksanakan ‘budi bicara kehakiman’ memandangkan keadaan kesihatan Ong yang tidak baik yang mana hukuman boleh dikurangkan lagi.

Peguam bela yang memohon pengampunan berkata, anak guam mereka menghidap penyakit yang serius, termasuk penyakit kanser yang tidak boleh diubati.

Mereka meminta ‘jumlah denda yang tinggi’ berbanding hukuman penjara.

“Risiko nyawa Encik Ong meningkat secara drastik di penjara,” kata peguam, Cavinder Bull memberitahu mahkamah dan menambah hukuman penjara boleh menybabkan anak guamnya tidak menerima penjagaan yang mencukupi.

“Lelaki ini hidup dengan mengambil risiko dan sedia menghadapi keadaan semasa,” tambah beliau.

Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara, setelah ‘mengambil kira bukti perubatan dikemukakan di mahkamah’, pendakwa raya tidak membantah untuk pelaksanaan hukuman denda benbanding hukuman penjara.

Perbicaraan Ong yang dilahirkan di Malaysia menarik perhatian media berikutan beliau dikaitkan dengan Iswaran dan reputasi negara pulau itu yang merupakan negara paling kurang rasuah.

Ong memiliki Hotel Properties Limited yang berpangkalan di Singapura dan pemegang hak penganjuran Grand Prix Formula Satu di negara tersebut.

Beliau dan Iswaran berperanan membawa perlumbaan Formula Satu pada malam hari di litar jalanan di Singapura pada 2008.

Pada Julai 2023, Ong ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah yang membabitkan Iswaran dan dibebaskan dengan jaminan.

Pada Oktober tahun lalu, Iswaran dijatuhi humuman penjara 12 bulan selepas beliau mengaku menerima hadiah bernilai lebih S$400,000.

Beliau juga didapati bersalah kerana menghalang keadilan, yang merupakan perbicaraan rasuah politik pertama di Singapura dalam tempoh hampir setengah abad.

Iswaran telah menyempurnakan hukumannya pada 6 Jun lalu. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast