KAJANG – Semua pihak harus menghormati proses siasatan sedia ada walaupun wujud gesaan untuk membuka semula siasatan termasuk daripada keluarga dan badan bukan kerajaan berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya juga tidak mahu terbabit dalam polemik berhubung kes kematian remaja perempuan itu, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan mengikut prosedur ditetapkan.
“Bila ada insiden berlaku, maka kertas siasatan dibuka. Bila selesai, ia diserahkan kepada Peguam Negara. Proses itu kita kena hormat. Kalau kita kata sudah selesai pun belum tentu sempurna.
“Saya tidak mahulah nak berada dalam polemik sempurna atau tak sempurna kertas siasatan.
“Kita beri ruang kerana polis telah jalankan. Kalau tidak orang sebut kata, kenapa lambat sangat? Bila dah kita siap, oh kenapa terlalu cepat? Ada lagi kelemahan, segala macam. Tak akan selesai,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis penutup i-Deen Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tahun 2025, hari ini.
Semalam, pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina menegaskan bahawa terdapat kelemahan dan kepincangan serius dalam laporan siasatan yang telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, siasatan yang dijalankan disifatkan terlalu kecil skopnya dan terhad fokusnya atas beberapa faktor penting yang diketepikan.
Antaranya, bedah siasat tidak dilakukan terhadap jenazah Zara Qairina sebelum pengebumiannya, ujarnya.
Pakaian dan barang peribadi yang dipakai oleh Zara Qairina semasa ditemui di bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu juga tidak diambil oleh polis untuk tujuan siasatan.
Dalam pada itu, Saifuddin menambah, amalan biasa pihak Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mengembalikan kertas siasatan kepada polis sekiranya terdapat kekurangan atau kecacatan yang perlu ditambah baik.
“Itu satu proses yang lazim. Bukan luar biasa. Polis biasa uruskan dan Peguam Negara tahu peranan mereka. Kita beri ruang proses itu berjalan,” katanya.
Bagaimanapun beliau enggan mengesahkan sama ada siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau siasatan jenayah, sebaliknya berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa Peguam Negara.
Saifuddin berkata, dalam kes berprofil tinggi seperti ini, sebarang keputusan perlu dibuat dengan teliti dan berdasarkan keyakinan penuh terhadap bukti yang dikumpulkan.
“Peguam Negara mesti betul-betul yakin sebelum buat keputusan meneruskan pendakwaan. Biar kita tidak tergesa-gesa supaya kebenaran dapat ditegakkan,” katanya.
Kes kematian Zara Qairina menarik perhatian ramai selepas remaja berusia 17 tahun itu ditemui meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan.
Desakan agar siasatan dibuka semula semakin meningkat susulan dakwaan wujudnya unsur pengabaian dan kecuaian dalam siasatan awal. – MalaysiaGazette
















