KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh memohon maaf secara terbuka bukan hanya kepada parti itu tetapi juga kepada seluruh komuniti orang kelainan upaya (OKU) di Malaysia.
Menurut Yap Yee Vonne, Dr Akmal telah menyinggung perasaan dan menghina komuniti OKU secara langsung.
“Adakah Akmal cuba menyatakan bahawa golongan OKU ini kurang bernilai? Kurang layak? Kurang berupaya? Jika Akmal tiada apa-apa yang sopan atau membina untuk dikatakan, lebih baik diam.
“Sebagai seorang pemimpin, setiap patah kata membawa makna dan kesan.
“Kenapa memilih untuk menghina dan merendahkan keseluruhan komuniti dengan cara seperti ini?” soalnya menerusi hantaran di Facebook.
Yee Vonne berkata, Dr Akmal ialah seorang doktor perubatan yang sepatutnya faham ketidakupayaan adalah satu keadaan dan bukan pilihan hidup.
Katanya, kenyataan seperti itu bukan sahaja tidak wajar bagi seorang doktor malah tidak boleh diterima daripada seseorang yang diberikan amanah dalam kepimpinan awam.
“Komuniti OKU di Malaysia sedang mencatat pelbagai kejayaan. Atlet para negara telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia daripada pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik hingga kejuaraan di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
“Mereka telah mengatasi pelbagai cabaran dan membuktikan keupayaan mereka berulang kali.
“Saya sendiri bekerja rapat setiap hari dengan seorang rakan sekerja yang memegang kad OKU. Beliau berinteraksi dengan penduduk, mengurus pelbagai aduan komuniti dan mengetuai program-program kemasyarakatan yang memberi impak besar dan berpanjangan. Sumbangan beliau sama hebatnya, malah mungkin lebih daripada kita semua,” ujarnya.
Tambah beliau, sektor awam dan swasta kini berganding bahu memupuk keterangkuman serta menghapuskan stigma terhadap ketidakupayaan.
Malah, katanya, pelbagai inisiatif sedang dijalankan untuk menambah baik infrastruktur, peluang pekerjaan, akses pendidikan dan representasi.
“Sebagai anggota kerajaan negeri Melaka, Akmal sepatutnya menjadi pendokong keterangkuman bukan mengukuhkan stereotaip. Pandangan seperti ini amat membimbangkan.
“Bagaimana rakyat boleh percaya kepada pemimpin seperti beliau untuk merangka dan melaksanakan dasar-dasar yang adil, saksama dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia baik yang berkeupayaan mahupun yang kurang upaya?
“Isu bendera terbalik di SJK(C) Port Dickson sedang disiasat oleh pihak Kementerian Pendidikan dan polis. Jika ada kecuaian, biarlah undang-undang yang menyelesaikannya. Tiada keperluan untuk mengambil kesempatan politik atau membakar sentimen perkauman secara tidak wajar,” tegas beliau.
Terdahulu hari ini, Dr Akmal menerusi laman sosial menyelar pihak yang mempertikaikan tindakannya bersuara dalam isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Menerusi satu kenyataan, Dr Akmal memuat naik sindiran tajam kepada pihak tertentu yang dianggap gagal memahami asas patriotisme dan tanggungjawab terhadap simbol negara.
“Tolong bagi mereka ini (DAPSY) cermin dan kad OKU sekali.
“Malas nak taip panjang-panjang dah, sebab bebal sangat nak faham,” katanya di Facebook hari ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















