Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Dominic Lau  mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mengelak daripada menjawab persoalan mengenai nisbah keseluruhan hutang negara dan hanya memberi fokus kepada nisbah hutang statutori semata-mata.

Menurut Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu, walaupun kepetahan Perdana Menteri menjawab soalan di Dewan Rakyat tidak dapat dinafikan namun data yang digunakan ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid didakwa mengandungi unsur penyelewengan serta tidak disampaikan secara jujur.

“Walaupun nisbah hutang statutori kini berada pada kadar 62.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan masih di bawah had siling 65 peratus, ini hanya kerana kerajaan telah beberapa kali menaikkan had siling tersebut.

“Adakah pengiraan 62.7 peratus ini turut mengambilkira pinjaman dalam mata wang asing dan juga pinjaman melalui Bil Perbendaharaan Malaysia (Malaysian Treasury Bills – MTB)?

“Jika ya, apakah nisbah sebenar hutang negara kepada KDNK? Adakah ia melebihi 65 peratus?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dominic berkata, meskipun rakyat kebanyakan mungkin tidak memahami pengiraan yang kompleks, isu berkenaan perlu dijelaskan kerana ia melibatkan masa depan negara dan generasi akan datang.

“Kerajaan sering melaungkan prinsip keadilan dan ketelusan setiap kali mengumumkan data kepada rakyat. Maka mereka juga perlu berlaku telus dalam hal ini.

“Jangan sesekali mempermainkan rakyat dengan angka yang mengelirukan,” ujar beliau.

Pada masa sama Dominic turut membangkitkan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu yang menyatakan negara akan muflis jika hutang mencecah RM900 bilion.

“Tetapi kini di bawah kepimpinan ‘bijak’ Datuk Seri Anwar, hutang negara telah melepasi RM1.3 trilion. Anehnya, negara masih dikatakan stabil dan tidak muflis. Bagaimana ini berlaku?” soalnya lagi.

Beliau turut mengingatkan pelabur asing amat sensitif terhadap data ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan khususnya berkaitan tahap hutang negara.

“Jika kerajaan mengelirukan rakyat dengan angka tidak konsisten, adakah pelabur asing masih mempunyai keyakinan terhadap pasaran kita? Ini bukan sahaja akan menjejaskan keyakinan pelabur, malah mencemarkan kredibiliti kerajaan itu sendiri,” katanya

Dominic turut mempersoalkan tindakan kerajaan meminjam RM20 bilion dalam bentuk hutang luar negara namun dalam masa sama mendakwa berjaya mengurangkan hutang negara sebanyak RM20 bilion.

“Ini satu kenyataan yang tidak masuk akal. Pertumbuhan satu peratus dalam KDNK bersamaan kira-kira RM20 bilion. Jadi, bagaimana dengan hanya berdasarkan pertumbuhan itu boleh dikatakan hutang berkurangan?” katanya.

Dalam pada itu Dominic membandingkan prestasi kerajaan semasa dengan pentadbiran terdahulu di bawah Perikatan Nasional, yang menurutnya berjaya mengekalkan nisbah hutang negara kepada KDNK pada kadar 57.7 peratus.

“Kini di bawah pentadbiran Anwar, nisbah tersebut meningkat kepada 62.7 peratus,  peningkatan sebanyak lima peratus.

“Jika satu peratus bersamaan RM20 bilion, bermakna hutang negara telah bertambah lebih RM100 bilion. Ini satu angka yang amat mengejutkan,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast