AMPANG – Lelaki orang kurang upaya (OKU) mental, Norhafsham Nazri, 43, yang dilaporkan hilang di Bukit Tabur berdekatan kawasan Kampung Warisan, Taman Melawati sejak Jumaat lalu dipercayai pergi ke lokasi lain.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail ketika dihubungi memaklumkan, ia susulan tiada sebarang petunjuk baharu dikesan sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak Sabtu lalu.
“Setakat ini, pencarian (mangsa) tiada petunjuk baru di kawasan sekitar dan kita tidak menolak kemungkinan, mangsa pergi ke lokasi lain.
“Ketika ini, operasi SAR mangsa dihentikan serta-merta sejak sekitar jam 6 petang semalam dan jika ada petunjuk baharu kita akan membuka semula operasi.
“Polis juga membuka satu kertas inkuiri berhubung orang hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Kampung Warisan, di sini sejak awal pagi tadi mendapati kawasan terbabit tiada lagi khemah agensi keselamatan dan penyelamat.
Turut kelihatan kedua-dua ibu bapa mangsa hadir dan setia menunggu untuk sebarang perkembangan mengenai kehilangan anak keduanya daripada tiga beradik itu.

Pada Sabtu lalu, Mohd Azam dilaporkan berkata, Balai Polis Taman Melawati menerima laporan jam 1.04 tengah hari kelmarin daripada lelaki warga emas berusia 69 tahun.
Katanya, pengadu mengatakan pada 1 Ogos lalu jam lebih kurang 2.30 petang, dia menghantar anaknya, Norhafsham Nazri, 43, ke Kampung Warisan Taman Melawati untuk berehat.
Pada hari yang sama jam 9.30 malam, pengadu mendapati mangsa masih belum pulang ke rumah, pengadu pergi ke Kampung Warisan untuk mencari anaknya namun tidak dijumpai.
Mohd Azam menambah, hasil pencarian awal penduduk menemukan sebuah beg galas dipercayai milik mangsa di laluan pendakian Bukit Tabur. – MalaysiaGazette
















